Malaysia dijangka kekal pengeluar sarung tangan terbesar dunia

Facebook
Twitter
WhatsApp

PETALING JAYA: Malaysia dijangka mengekalkan kedudukannya sebagai negara pengeluar sarung tangan getah nombor satu dunia pada 2022 dengan jumlah eksport diunjur meningkat 12 hingga 15 peratus, kata Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Presidennya, Dr Supramaniam Shanmugam, berkata berdasarkan semakan unjuran persatuan pada 4 Disember 2021, Malaysia dijangka membekalkan sejumlah 65 peratus atau 294 bilion sarung tangan daripada bekalan global tahun ini, diikuti oleh masing-masing China (20 peratus), Thailand (10 peratus) dan Indonesia (tiga peratus).

MARGMA juga menjangkakan permintaan global bagi sarung tangan getah itu berjumlah 452 bilion unit atau 14,333 sarung tangan yang digunakan setiap saat.

“Sejajar dengan peningkatan kesedaran mengenai kebersihan dan keselamatan di peringkat global, kami optimis permintaan akan terus tumbuh ketika industri melakukan inovasi jenis-jenis sarung tangan getah baharu untuk kegunaan industri makanan dan minuman.

“Tidak ketinggalan, sektor semikonduktor bagi melindungi komponen elektrikal dan elektronik daripada pencemaran.

“Selain itu, lonjakan bilangan warga emas global termasuk di Amerika Syarikat dan Jepun juga berkemungkinan menyaksikan lebih banyak pengendali rumah orang tua serta surirumah menggunakan sarung tangan pakai buang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Industri 2022 persatuan itu yang diadakan secara hibrid di sini.

Supramaniam berkata, MARGMA bagaimanapun tidak dapat menyatakan unjuran nilai hasil eksport berikutan pergerakan harga yang tidak menentu.

Pada sesi taklimat itu, Supramaniam berkata, ahli-ahli MARGMA turut menumpukan lima perkara utama iaitu yuran pemulihan bagi membebaskan pekerja asing daripada bebanan hutang, penambahbaikan asrama atau kemudahan tempat tinggal untuk pekerja asing dan tempatan, gaji minimum untuk pekerja, Audit Perdagangan Etika Keanggotaan SEDEX (SMETA) dan kawal seliaan kendiri menerusi kod tingkah laku.

“Mengikut kelulusan yang dicapai dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 9 Nov, 2019, kami mengambil keputusan bahawa semua ahli akan melaksanaan ‘Dasar Kos Sifar’ bagi proses pengambilan pekerja asing iaitu kami akan mengesahkan dengan ejen mengenai jumlah bayaran sebenar kepada mereka bagi memastikan pekerja yang masuk ke Malaysia bebas daripada hutang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha pengeluaran sarung tangan bukanlah industri berintensifkan buruh memandangkan 82 hingga 83 peratus daripada operasinya adalah secara automasi.

Malah, hasil tinjauan pada Oktober-November 2021 mendapati industri itu hanya hanya menggaji sejumlah 1.7 peratus atau hampir 40,000 pekerja daripada jumlah pekerja asing yang mempunyai dokumen dan tiada dokumen di negara ini.

Industri itu mengambil khidmat sejumlah 69,218 pekerja dan mempunyai hampir 19,000 kekosongan.

Pada masa sama, Supramaniam berkata, industri itu turut bekerjasama erat dengan institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi membolehkan mereka mempunyai kemahiran serta pengetahuan selain mengambil khidmat serta mengekalkan pekerja tempatan bagi jangka panjang.

Mengulas pengumuman kerajaan mengenai gaji minimum RM1,500, Supramaniam berkata MARGMA menyokong langkah itu berikutan ada di antara ahlinya yang gaji lebih tinggi walaupun ini menyebabkan peningkatan kos pengeluaran secara menyeluruh.

Katanya, kenaikan gaji minimum RM1,200 kepada RM1,500 adalah menyamai peningkatan sebanyak 25 peratus daripada gaji minimum semasa.

“Ini akan menyebabkan kos pengeluaran menyeluruh meningkat 1.42 peratus hingga 2.75 peratus, bergantung kepada profil pekerja di setiap kilang di serata Malaysia.

“Kami hanya berharap sebarang kenaikan baharu gaji minimum ini di masa depan akan dibuat oleh kerajaan secara berperingkat,” katanya.

Ditanya sama ada konflik Russia-Ukraine akan menjejaskan industri sarung tangan getah, beliau berkata ia bukanlah satu kebimbangan utama memandangkan negara-negara terbabit hanya mewakili segmen kecil daripada keseluruhan pasaran yang merangkumi lebih daripada 190 negara.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini