STOCK SAHAM.CO

Pembukaan sempadan perkukuh momentum pasaran saham

KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan akan meraih semula momentum daripada pemulihan ekonomi berterusan Malaysia, yang diperkukuhkan lagi dengan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lalu.

Penganalisis RHB Research, Alexander Chia, berkata firma penyelidikan itu menaikkan sasaran penanda aras saham tempatan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) untuk akhir 2022 kepada 1,670 mata berbanding 1,630 mata sebelum ini.

Katanya, RHB Research meletakkan saranan ‘overweight' terhadap saham-saham syarikat perbankan, institusi kewangan bukan perbankan (NBFI), minyak dan gas, utiliti, penjagaan kesihatan, bahan asas, perjudian serta teknologi.

“Kami menjangkakan pemulihan ekonomi akan berterusan, namun menerima hakikat bahawa ketidaktuan tetap berlaku.

“Pelabur mesti kekal fokus terhadap saham mempunyai nilai dan kitaran memanfaatkan pemulihan, selain melihat kepada saham murah yang menarik untuk jangka masa lebih panjang, sambil mengekalkan pegangan dalam saham berpulangan tinggi dan syarikat yang mempunyai profil alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mantap,” katanya.

FBM KLCI mengakhiri dagangannya minggu lalu pada 1,607.29 mata, kenaikan sebanyak 4.88 mata berbanding seminggu sebelumnya, berikutan sentimen pelabur yang baik.

Mengulas lanjut, Chia berkata, krisis Russia-Ukraine pula membantu mencetuskan kembalinya dana portfolio asing ke rantau ini, berikutan daya tarikan pasaran saham serantau sebagai pelaburan selamat.

Namun, dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa krisis itu juga menambah kepada senarai faktor risiko yang boleh mengancam pertumbuhan global.

“Krisis itu berkemungkinan boleh berlarutan, namun anggapan teras kami adalah konflik terbabit akan kekal dalam sempadan Ukraine.

“Begitupun, kenaikan harga komoditi yang berpunca daripadanya akan memburukkan lagi inflasi dan risiko terhadap pertumbuhan, khususnya mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) baru-baru ini mendedahkan bank pusat Amerika Syarikat (AS) akan menaikkan lagi kadar faedah lebih pantas daripada jangkaan ahli ekonomi kami,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kurangnya keazaman politik untuk mencapai konsolidasi fiskal menyebabkan kawal selia domestik dan risiko dasar di negara ini bertambah.

“Prospek cukai lebih tinggi tidak berlaku, berikutan kecenderungan lebih banyak langkah populis menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.

Mengenai pandemik, Chia berkata, di sebalik berlaku kenaikan kes tahun ini, peratusan pesakit yang memerlukan rawatan di hospital kekal rendah, justeru sistem penjagaan kesihatan berupaya menguruskan bebanan itu, disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi.

“Kesan asas, ketiadaan sekatan pergerakan baharu, tahap permintaan yang tinggi, peningkatan pertumbuhan global dan ‘status-quo' politik untuk masa terdekat ini akan menyokong unjuran pengembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus untuk tahun ini,” katanya.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular