KL tarik pelaburan RM37.7 bilion 2021 – InvestKL

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur sekali lagi muncul sebagai salah satu destinasi utama pelaburan di negara ini selepas Pulau Pinang dan Kedah pada 2021, dengan menarik pelaburan sebanyak RM37.7 bilion, lebih tinggi berbanding RM17.1 bilion pada 2020.

Malah, ibu negara Malaysia itu juga menjadi tuan rumah utama bagi kepelbagaian sektor perkhidmatan negara yang terus berkembang dengan pendigitalan yang diperhebat tahun lalu, menyumbang sebahagian besar daripada pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi di seluruh negara dengan tumpuan yang kukuh terhadap inovasi.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli, berkata sektor perkhidmatan Malaysia menarik RM94.1 bilion dalam pelaburan yang diluluskan pada 2021 melalui 3,803 projek, yang mana pelaburan asing membentuk 26.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan dengan RM24.9 bilion.

Beliau berkata, subsektor penubuhan global adalah antara lima penyumbang utama dalam sektor perkhidmatan dengan pelaburan diluluskan sebanyak RM19.7 bilion tahun lalu, lebih tinggi berbanding RM595.2 juta yang dicapai pada 2020.

“Malaysia mendapat perhatian sebagai hab serantau untuk syarikat multinasional yang mencari lokasi paling ideal bagi menempatkan hab operasi pusat mereka dan Kuala Lumpur memainkan peranan penting dalam menarik projek berkualiti tinggi itu ke negara ini dengan ketersambungan yang sangat baik dan ekosistem yang kompetitif,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelaburan ketara adalah daripada Huawei Technologies (Malaysia), yang sedang bersiap sedia untuk ke depan dalam inovasi 5G dengan Ibu Pejabat Operasi Global baharunya di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada kemajuannya dalam membangunkan teknologi IR4.0 untuk mempercepatkan transformasi digital Malaysia.

Penyumbang utama pelaburan lain yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan termasuk hartanah (RM28.8 bilion), perkhidmatan kewangan (RM12 bilion), utiliti (RM9.6 bilion), dan komunikasi maklumat (RM8.2 bilion).

Muhammad Azmi berkata, pendigitalan ialah tema utama yang terus memacu pelaburan dalam sektor perkhidmatan apabila trend kerja jarak jauh dan automasi semakin meningkat sepanjang pandemik.

Beliau berkata, Internet Kebendaan (IoT), kecerdasan buatan dan rangkaian awan juga telah mendorong perkhidmatan baharu, meningkatkan kepentingan sektor perkhidmatan kepada ekonomi Malaysia.

“Ini juga dicerminkan dalam dua inisiatif InvestKL yang dilancarkan pada 2021; Greater Kuala Lumpur (GKL) Live Lab, pemacu untuk pelaburan berkualiti, diterajui inovasi dan berintensif pengetahuan, dan Fit4Work, program untuk memupuk tenaga kerja yang berkualiti, inovatif dan berpengetahuan sambil mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Kerajaan telah berusaha untuk beralih secara beransur-ansur ke arah ekonomi yang lebih hijau dengan menjadikan pertumbuhan hijau sebagai keutamaan di bawah pelbagai dasar dan rancangan jangka pertengahan seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dengan tumpuan kepada pelaburan mampan yang memperjuangkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus.

“Memandangkan infrastruktur Kuala Lumpur dan kumpulan bakat, InvestKL bersedia untuk membantu memajukan agenda lestari Malaysia dengan menyasarkan pelaburan peringkat tinggi dan khusus, terutama dalam bidang teknologi digital, perkhidmatan global dan tawaran inovatif,” kata Muhammad Azmi.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini