Harga emas dijangka terus turun

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Harga emas dijangka terus menyusut dalam tempoh jangka pendek selepas mencecah paras rendah tiga bulan kepada AS$1,838.26 (RM8,050.59) seauns atau RM258.83 segram baru-baru ini, didorong pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan kelemahan yuan China.

Susulan kejatuhan mendadak emas, peniaga aset selamat itu berpendapat kini adalah masa yang sesuai untuk membeli atau menambah pegangan dalam komoditi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kim Trading Venture Sdn Bhd, Liew Kim Fung, berkata kejatuhan berterusan harga emas sejak kebelakangan ini adalah peluang terbaik yang perlu dimanfaatkan oleh pelabur.

“Walaupun harga emas mungkin susut lebih jauh, adalah lebih baik untuk membeli atau menambah pegangan sekarang daripada melihatnya melantun semula dan terlepas peluang membeli pada harga rendah,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, penurunan harga emas kebiasaannya bersifat sementara, manakala pergerakan mata wang sentiasa berubah dan ini mungkin memihak kepada emas untuk melantun semula.

“Melihat kepada krisis berterusan antara Russia dan Ukraine yang mungkin merebak ke negara lain, ia akan memberi kesan kepada harga emas untuk terus melonjak mendadak dan mungkin melepasi AS$2,200 (RM9,634.81) seauns atau RM309.77 segram, sekali gus menjadikannya lebih mahal untuk dimiliki,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn Bhd, Mohd Faizal Mohd Nor pula berkata, bukan hanya pasaran logam berharga terkesan pada masa ini, bahkan pasaran saham utama dunia seperti S&P 500 dan mata wang kripto turut merudum.

Justeru, katanya, ramai pelabur melepaskan pegangan dalam emas untuk menghindari ‘kerugian’, namun ia peluang untuk menambah lebih banyak pegangan aset kerana emas dijangka tetap utuh untuk jangka panjang.

“Saya sudah menjangkakan kejatuhan harga emas kerana Rizab Persekutuan (Fed) AS sedang tersepit dalam mengimbangi tekanan inflasi yang tinggi ketika ini.

“Bagaimanapun, ia tidak mempunyai banyak pilihan selain menaikkan kadar faedah yang akan memberi tekanan jangka pendek pada harga emas,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman kenaikan kadar faedah oleh Fed memberi tekanan sementara pada harga emas kerana aliran modal beralih kepada bon dan sekuriti kerajaan.

Justeru, katanya, pelabur akan cenderung untuk memilih kecairan tunai berbanding kelas aset lain.

“Namun, saya yakin, selari dengan ekonomi dunia yang berada dalam persekitaran inflasi yang tinggi, pelabur akan beralih semula kepada kelas aset selamat seperti emas,” katanya.

Sementara itu, pemilik Kedai Emas Jesselton berpangkalan di Kota Kinabalu, Faizul Moktar, berkata kejatuhan harga emas adalah masa sesuai untuk menambah pegangan stok emas fizikal.

Namun, beliau berpandangan masa paling sesuai membeli atau menambah pegangan emas adalah ketika ada lebihan duit, tidak kira masa emas naik atau turun.

“Kejatuhan atau kenaikan harga emas hari ini bersifat sementara bagi tempoh jangka pendek. Jika dilihat dari sudut jangka panjang harga emas terus menampakkan kenaikan sangat ketara disebabkan inflasi saban tahun.

“Bagi pencinta emas di Malaysia, kejatuhan harga emas adalah masa terbaik mendorong mereka untuk menambah pegangan logam berharga yang kalis inflasi ini lebih banyak untuk simpanan masa depan,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini