STOCK SAHAM.CO

Usahawan industri vape dijangka terjejas

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seharusnya memberi fokus kepada pelaksanaan peraturan untuk industri yang telah lama tertangguh dan bukannya membuat cadangan baharu yang akan memberikan kesan kepada tempatan dan juga pekerja dalam industri vape, menurut Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA) dalam satu kenyataan.

Datuk Adzwan Ab Manas, Presiden MRECA berkata, KKM harus memberi keutamaan kepada perkara yang telah lama tertangguh terlebih dahulu.

“Industri vape kini berada di dalam ketidaktentuan atas kegagalan KKM untuk mengutamakan pelaksanaan peraturan dan penyeliaan industri vape. Kami seperti digantung tidak bertali.

“Walaupun Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan cukai untuk cecair vape yang mengandungi nikotin mulai 1 Januari 2022 lalu, ia bagaimanapun kini telah tertangguh 4 bulan kerana KKM masih enggan melaksanakan peraturan secepat mungkin. KKM perlu memberikan keutamaan kepada pelaksanaan peraturan kawal selia industri vape terlebih dahulu,” katanya.

Pada pembentangan Bajet 2022 yang lalu, Kerajaan telah mengumumkan akan melaksanakan cukai untuk cecair vape yang mengandungi nikotin bermula Januari 2022. Bagaimanapun ia ditangguhkan kepada satu tarikh yang masih tidak ditetapkan.

MRECA menganggarkan kelewatan dalam melaksanakan peraturan kepada cecair vape juga mengakibatkan Kerajaan kerugian hasil kutipan cukai melebihi RM750 juta setahun.

“Ekoran penangguhan dan kelewatan pelaksanaan peraturan oleh KKM ini, dianggarkan Kerajaan menanggung kerugian sekitar RM62 juta setiap bulan daripada kegagalan untuk mengutip cukai.

Tambahan pula, cadangan KKM untuk melarang penjualan vape bersama rokok walaupun kedua-dua produk berkenaan adalah berlainan agak mengelirukan kepada industri tempatan vape terutamanya kepada 3,000 usahawan tempatan dan 15,000 pekerja dalam industri ini.

“KKM janganlah terburu-buru hendak bereksperimen dengan larangan penjualan vape melalui cadangan Generation End Game. Ini akan memberikan tamparan yang hebat kepada usahawan tempatan dan pekerja dalam industri ini. Malah ia juga akan memberikan mesej yang salah kepada pelabur domestik dan asing terutamanya dalam industri lain seperti minuman bergula, alkohol yang juga boleh dikenakan dengan peraturan yang sama tanpa menghiraukan hak golongan yang telah dewasa dalam membuat pilihan,” katanya.

Malah, sepanjang tempoh ini, pihak industri tidak dipanggil untuk terbabit secara langsung dalam perbincangan mengenai cadangan tersebut dan pihak industri tempatan hanya terdengar cadangan ini daripada laporan media.

“Perkara ini tidak dibincangkan dengan industri vape dan kami hanya terdengar daripada media. Larangan penjualan vape kepada sesiapa yang mencapai umur dewasa adalah bertentangan dengan pendekatan yang diambil di negara maju seperti di United Kingdom dan New Zealand yang menerima pakai konsep pengurangan kemudaratan tembakau dengan mempromosikan penggunaan vape untuk mengurangkan kadar merokok.

“KKM harus telus dan mengambil kira potensi produk vape dalam membantu perokok berhenti merokok dan bukannya mengkategorikan vape dan rokok sebagai produk yang sama sehingga menghalang penjualannya,” katanya.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular