Unit Straits, EdgePoint Towers jalin kerjasama

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Syarikat bunker minyak terkemuka Malaysia, Straits Energy Resources Bhd (Straits) anak syarikat tidak langsungnya, Straits CommNet Solutions Sdn Bhd (Straits CommNet) menjalin kerjasama strategik dengan EdgePoint Towers Sdn Bhd (EdgePoint Towers) dalam meninjau penyertaan dalam landskap 4G/5G.

EdgePoint Towers adalah entiti operasi untuk EdgePoint Group di Malaysia, menyediakan keperluan infrastruktur telekomunikasi pengendali rangkaian mudah alih dengan lebih 800 menara, memegang kedua-dua lesen penyedia kemudahan rangkaian (NFP) dan penyedia perkhidmatan rangkaian (NSP).

Ia menyasar untuk menyediakan infrastruktur sedia 5G melalui membina dan memajak gentian bersepadu dan infrastruktur telekomunikasi moden yang boleh dikongsi serta menyediakan penyelesaian seperti sel kecil dan sistem dalam bangunan.

Straits berkata, kedua-dua pihak berhasrat untuk mengadakan perbincangan bersama untuk bekerjasama dan menyertai peluang perniagaan yang luas dalam 4G dan 5G serta pelancaran rangkaian persendirian, transformasi digital dan aspirasi IR4.0 minyak dan gas, pengurusan pelabuhan serta sektor pengangkutan melalui teknologi pintar dan internet kebendaan (IoT) di Malaysia dan serantau.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Straits CommNet, Sunny Ho Khin Choy, berkata pihaknya berharap dapat bekerjasama rapat dengan EdgePoint, yang membuat kemajuan besar dalam memacu pengembangan penyelesaian sambungan generasi akan datang bagi penyedia rangkaian telekomunikasi di seluruh rantau ASEAN.

Beliau berkata, melalui kerjasama itu, Straits CommNet akan menjadi pembekal penyelesaian dan peralatan untuk melengkapkan penawaran infrastruktur telekomunikasi EdgePoint di Malaysia dan serantau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers, Muniff Kamaruddin, berkata syarikatnya berharap dapat bekerjasama dengan Straits CommNet untuk memperkenalkan tawaran komunikasi yang akan mengubah landskap perindustrian di Malaysia.

Beliau berkata, pemodenan dan kemajuan masa depan pelbagai sektor perindustrian adalah usaha yang menawarkan peluang luas untuk perniagaan serta entiti yang berminat untuk mengejar potensi yang besar.

“EdgePoint bersedia untuk mengoptimumkan infrastruktur generasi akan datang kami untuk mencapai matlamat bersama dengan Straits CommNet,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini