TNB tinjau potensi guna turbin angin di Malaysia

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) meninjau mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) di negara ini termasuk potensi penggunaan turbin angin pada masa depan sejajar dengan hala tuju kelestariannya mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

Pengarah Projek (Hala Tuju Kelestarian), Bahagian Strategi & Usaha Niaga TNB, Dr Noor Miza Muhamad Razali, berkata penjanaan tenaga oleh syarikat utiliti itu menuju ke depan adalah daripada sumber rendah karbon dengan penggunaan teknologi hijau baharu, termasuk hidrogen dan tangkapan dan penggunaan karbon (CCU).

Beliau berkata, TNB turut mencatatkan kemajuan secara beransur-ansur dalam strategi pertumbuhan RE untuk mencapai sasaran 8.3GW RE menjelang 2025 berbanding 3.4GW kapasiti RE dipasang ketika ini.

Katanya, TNB akan memanfaatkan usaha sama di luar negara dari segi teknologi, kepakaran dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membawa teknologi baharu RE ke dalam negara.

“Di Malaysia, beberapa kajian membabitkan potensi turbin angin telah dijalankan. Cuma, kebolehlaksanaan bergantung kepada berapa saiz yang sebenarnya mempunyai skala ekonomi untuk Malaysia.

“Seperti sedia maklum, tenaga angin ini ada dua iaitu di luar pesisir dan dan daratan. Malangnya, turbin angin kelajuan tinggi di daratan tidak sesuai untuk Semenanjung.

“Justeru, perlu tunggu teknologi (turbin angin) kelajuan rendah menjadi matang, yang mengambil masa,” katanya pada taklimat pengarang mengenai Hala Tuju Kelestarian TNB 2050 secara maya.

TNB telah membuat pelaburan dalam teknologi turbin angin menerusi anak syarikat milik penuhnya, Vantage RE Ltd dengan pengambilalihan 49 peratus kepentingan dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL).

Pengambilalihan daripada EDF Renewables (EDFR), anak syarikat utiliti Perancis, Électricité de France (EDF) itu dimeterai pada 18 Oktober 2021, sekali gus menandakan penyertaan sulung TNB ke pasaran angin luar pesisir antarabangsa.

BODL pada masa ini memiliki aset angin luar pesisir di luar pantai Blyth, Northumberland, England.

Aset itu termasuk lima turbin dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 41.5MW (Blyth 1) dan hak pembangunan projek angin luar pesisir terapung sehingga 58.4MW (Blyth 2) yang terletak di luar pantai Northumberland.

Lima turbin 8.3MW Blyth 1 dipasang dengan teras berasaskan graviti yang menggunakan beban konkrit untuk memastikan turbin berada di tempatnya dengan selamat tanpa menembusi dasar laut.

TNB mengumumkan Hala Tuju Kelestarian tahun lalu, pelan tindakan dengan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Hala tuju itu disokong komitmen TNB mengurangkan 35 peratus intensiti pelepasan karbon serta 50 peratus daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga TNB, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin dalam nota ringkasnya sempena taklimat pengarang itu berkata syarikat sedang mengambil langkah progresif untuk memenuhi matlamat Hala Tuju Kelestarian 2050.

Beliau berkata, langkah berkenaan sebagai pertumbuhan perniagaan dan peluang pewujudan nilai selanjutnya bagi syarikat utiliti itu menuju ke depan.

Katanya, TNB menggunakan pendekatan serampang dua mata dalam mencartakan hala tuju berkenaan iaitu menjadikan perniagaan teras semasa mampan dan membina perniagaan mampan baharu untuk pertumbuhan.

“Pertumbuhan dan kemampanan perniagaan, seperti yang ditampilkan di bawah ‘Reimagining TNB’, terus menjadi tumpuan TNB.

“Bagi kekal setia terhadap aspirasi untuk menjadi peneraju pembekal penyelesaian tenaga mampan di Malaysia dan global dan mencapai aspirasi pelepasan karbon sifar nersih menjelang 2050, pertumbuhan kami akan selaras dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini