STOCK SAHAM.CO

TNB bantu SMART guna 100 peratus tenaga boleh diperbaharui

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), GSPARX Sdn Bhd membantu SMART Modular Technologies Inc (SMART) memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan memperoleh 100 peratus tenaga elektrik yang dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui.

Menerusi kerjasama ini, SMART akan menjadi perbadanan multinasional pertama di Pulau Pinang dan syarikat elektronik berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) pertama di Malaysia mencapai kejayaan itu, kata TNB dan SMART dalam satu kenyataan bersama.

Ini akan dicapai menerusi operasi Seberang Jaya SMART, kilang pembuatan utamanya di rantau ini.

Pencapaian ESG itu adalah hasil daripada pemasangan penyelesaian tenaga solar atas bumbung dan Tarif Elektrik Hijau (GET) yang disediakan oleh TNB.

Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri, berkata kerjasama dengan SMART untuk memenuhi matlamat ESG menjadi contoh kepada MNC lain di Malaysia untuk memulakan inisiatif serupa bagi mengurangkan jejak karbon masing-masing.

“Sebaik sahaja kami menyiapkan pemasangan solar, SMART akan mampu menyalurkan 1,496 MWj tenaga solar setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, jumlah imbangan karbon ialah 5,403 tan metrik setahun, bersamaan dengan 99,128 anak pokok yang tumbuh selama 10 tahun apabila GET dan penyelesaian solar atas bumbung digunakan bersama.

Sementara itu, Presiden SMART, Jack Pacheco, berkata untuk mencapai 100 peratus tenaga boleh diperbaharui, 80 peratus akan dicapai melalui langganan SMART kepada tarif hijau TNB dengan jumlah langganan 6.96 GWj setiap tahun.

“Baki 20 peratus lagi akan dikuasakan oleh pemasangan fotovolta solar (PV) atas bumbung GSPARX dengan kapasiti 1,051kWp di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE),” katanya.

Sehingga kini, GSPARX berjaya memperoleh 287 projek merangkumi organisasi komersial, perindustrian dan kerajaan, menjana 232 MWp kapasiti solar secara keseluruhan.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini