STOCK SAHAM.CO

Tiga faktor sesuai laksana semula GST

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Kemungkinan mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang disuarakan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memerlukan masa sesuai supaya kelemahan pelaksanaannya sebelum ini ditangani selain tidak menjejaskan kumpulan rentan serta pemulihan ekonomi, tegas penganalisis.

Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, berkata keadaan yang ideal untuk melaksanakan semula cukai kepenggunaan itu adalah ketika inflasi rendah dan stabil, pekerjaan dan pertumbuhan gaji mampan serta pendapatan rakyat meningkat untuk menampung beban sara hidup.

Beliau berkata, dalam masa sama, kadar yang lebih rendah berbanding enam peratus di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada masa ini boleh dipertimbangkan.

“Bantuan tunai sekali saja untuk isi rumah miskin adalah wajar untuk mengimbangi GST ke atas isi rumah berpendapatan rendah,” katanya.

Perdana Menteri dalam wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Melihat bahawa sistem cukai itu mampu mengembangkan pendapatan asas negara, Ismail Sabri mengakui kerajaan mempertimbangkan beberapa tindakan ekonomi yang mungkin dilihat pengguna sebagai menambah beban kos sara hidup mereka, iaitu memperkenalkan semula GST.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berpendapat, pelaksanaan semula GST perlu dilaksanakan dalam keadaan yang berhati-hati memandangkan pemulihan ekonomi negara masih di peringkat awal.

Beliau berkata, dengan kenaikan harga barang masih lagi di tahap yang tinggi, adalah amat penting komunikasi serta masa bagi melaksanakan cukai kepenggunaan itu dipertimbangkan.

“Tidak dinafikan keperluan untuk memperkenalkan semula GST adalah penting bagi kelestarian kewangan kerajaan. Namun, perlu menerangkan dengan jelas kepada rakyat mengenai keperluan untuk mengembalikan semula GST.

“GST adalah dasar yang cekap untuk mengutip cukai kerana ia menggalakkan ketelusan dalam amalan perniagaan. Dengan ketelusan itu, banyak entiti yang akan didaftarkan, sekali gus akan menghapuskan ‘ekonomi bayangan’ atau ‘ekonomi gelap’,” katanya.

Beliau juga berpandangan bahawa kelemahan terdahulu seperti kredit cukai input yang lambat dipulangkan kepada peniaga perlu diperbaiki supaya pelaksanaan kali kedua akan lebih lancar.

Katanya, dasar GST akan mengambil masa untuk dilaksanakan kerana terdapat keperluan bagi perniagaan untuk melaraskan semula sistem sedia ada kepada sistem yang mesra GST.

“Kaedah sebelum ini boleh digunakan seperti kadar sifar bagi barangan asas di samping bayaran pindahan bagi golongan rentan. Isu ini perlu dilihat secara menyeluruh seperti isu subsidi dan kawalan harga barang,” katanya sambil menambah secara ideal GST boleh dimulakan dengan kadar yang rendah dan dinaikkan secara perlahan-lahan.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpendapat sekarang bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan GST.

Beliau berkata, walaupun ia cara paling mudah bagi kerajaan menambahkan hasil, cukai kepenggunaan itu akan menyebabkan rakyat tertekan kerana terpaksa membayar cukai tambahan ke atas barang dan perkhidmatan, dengan harga barang telah sedia tinggi.

“Isu ketirisan dan rasuah menyebabkan kerajaan kehilangan RM50 ke RM60 bilion setiap tahun. Isu kutipan GST yang lambat dipulangkan kepada peniaga juga perlu diselesaikan terlebih dulu,” katanya.

Kaji selidik yang dibuat oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) pada Mei 2020 mendapati, sebanyak 499 syarikat amat menyokong supaya GST kembali menggantikan SST.

Antara cadangan penambahbaikan yang dikemukakan termasuk mengurangkan kadar GST kepada antara tiga hingga empat peratus bagi merangsang persekitaran perniagaan yang selanjutnya boleh menghasilkan pelaburan dan peluang pekerjaan lebih tinggi serta meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Turut dikemukakan adalah cadangan menjadikan barangan dan perkhidmatan perlu berkadar sifar, mengekalkan ambang pendaftaran GST pada RM500,000 serta meminimumkan penangguhan pembayaran balik, terutama kepada pengeksport dan perniagaan yang mempunyai bekalan berkadar sifar memandangkan tempoh pembayaran antara enam hingga lapan bulan menjadikan GST sebagai beban cukai terkumpul.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini