Subsidi bantu kawal kenaikan harga barang

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Meskipun kadar inflasi bagi April dijangka meningkat ekoran kenaikan harga barang, ia masih dilihat rendah dan mampu dikawal kerajaan disebabkan adanya bantuan subsidi yang meluas oleh kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Selain itu, katanya, kawalan harga bahan mentah yang diwujudkan kerajaan juga berjaya menjadikan kadar inflasi di negara ini rendah iaitu sebanyak 2.2 peratus pada Mac 2022.

“Di Amerika Syarikat (AS) (kadar inflasi) sudah 8.3 peratus, dan United Kingdom (UK) sembilan peratus.

“Alhamdulillah oleh kerana kita ada kawalan harga dan subsidi, ini menjadikan kadar inflasi kita rendah, umpamanya subsidi untuk minyak masak, subsidi untuk gas.

“Subsidi untuk petroleum misalnya harga sebenar adalah lebih RM4, tetapi rakyat hanya bayar RM2.05 bagi RON95 dan RM2.18 bagi diesel seliter,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis permeteraian antara AirAsia Academy dengan MyDIGITAL Corporation bagi program meningkatkan penambahan kemahiran berkaitan digital- Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) untuk rakyat Malaysia.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia meningkat 2.2 peratus kepada 125.6 pada Mac 2022 berbanding 122.9 pada Februari, melebihi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Mac 2022 iaitu 1.9 peratus.

Mengenai langkah melaksanakan subsidi bersasar, Mustapa berkata, perkara itu kini sedang diteliti lebih terperinci dan akan diumumkan pada masa yang akan ditentukan kelak.

Menurutnya, antara subsidi bersasar yang sudahkan dilaksanakan kerajaan adalah subsidi untuk mengerjakan ibadah haji.

“Kerajaan sedar rakyat berasa tertekan dengan kenaikan harga oleh itu kerajaan telah menyediakan subsidi yang besar dan subsidi akan diteruskan, cuma dari segi dasar kita telah buat keputusan untuk melaksanakan dasar subsidi bersasar bagi golongan yang layak dan memerlukan,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini