Saham Orgabio mula diniaga di bursa tempatan

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Pengeluar minuman pracampur segera, Orgabio Holdings Bhd mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd semalam (Selasa) pada 36 sen, premium lima sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 31 sen.

Semasa pembukaan dagangan, kaunter itu menyaksikan 4.82 juta saham bertukar tangan.

Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Ean Yong Tin Sin, berkata syarikat itu akan membina kilang baharu di Semenyih dan membeli jentera untuk menyokong dan meningkatkan kecekapan aktiviti dan kapasiti pembuatan sedia ada.

Beliau berkata, kilang baharu yang dijadualkan beroperasi menjelang Ogos 2023, akan meningkatkan kapasiti syarikat kepada 230 juta uncang pada setiap tahun.

“Kami berhasrat untuk memanfaatkan reputasi dan pengiktirafan global untuk mengembangkan lagi pasaran eksport melalui pelbagai aktiviti pemasaran seperti menyertai pameran perdagangan luar negara, pendekatan langsung dan rujukan dan pemasaran digital,” katanya pada majlis penyenaraian itu di sini.

Orgabio adalah pengeluar minuman pracampur segera ketiga terbesar di Malaysia ketika ini kepada pemilik jenama pihak ketiga dan mempunyai 16 tahun rekod prestasi dalam industri.

Ean Yong berkata, buat masa ini, produk syarikat akan dieksport ke Australia, China, Hong Kong, Jepun, Myanmar, Papua New Guinea, Russia, Taiwan, India, Australia, Singapura, Trinidad dan Tobago serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Jualan eksport syarikat menyumbang 21.9 peratus kepada hasil keseluruhan kumpulan setakat 31 Disember 2021.

Pada masa depan, Ean Yong yakin syarikat itu akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun berikutan perolehan dan permintaan yang berkembang, serta pensijilan makanan halal.

Melalui penyenaraian itu, syarikat telah memperoleh RM29.97 juta daripada IPO sebanyak 96.7 juta saham baharu pada harga awal 31 sen sesaham.

Daripada saham baharu, sebanyak 12.4 juta saham telah disediakan kepada rakyat Malaysia; 6.2 juta untuk pengarah dan kakitangannya yang layak, manakala baki 78.1 juta diperuntukkan bagi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta pelabur terpilih.

Daripada jumlah perolehan IPO, RM16 juta akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada pembinaan kilang baharunya di Semenyih, RM8.14 juta bagi keperluan modal kerja, RM2.23 bilion untuk membeli jentera baharu dan baki RM3.60 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Berikutan penyenaraian itu, Orgabio dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM76.8 juta berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 247.9 juta saham.

Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya Ean Yong Hien Voon berkata syarikat itu akan bekerjasama dengan pelanggan untuk melakukan reformulasi harga produk untuk mengurangkan impak kenaikan kos.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini