STOCK SAHAM.CO

Ringgit tidak mungkin susut sehingga kepada RM5.50 – Penganalisis

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Ringgit tidak akan susut sehingga ke paras RM5.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) memandangkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal kukuh ketika ini.

Ketua Penyelidik Rakuten Trade, Kenny Yee Shen Pin, berkata status ekonomi negara yang kekal memberangsangkan, selain eksport dan harga minyak yang kukuh tidak akan mendorong ringgit untuk melemah ke paras serendah itu.

“Kami tidak fikir ia (ringgit) akan lemah sehingga begitu. Secara asasnya, ekonomi Malaysia masih kekal kukuh dan eksport utama, harga minyak sawit serta minyak mentah yang tinggi. Kita masih melihat ia sangat kukuh.

“Dari aspek eksport pula, Malaysia merekodkan pencapaian yang sangat baik. Jadi, pada pandangan ringgit tidak akan jatuh sehingga ke paras itu,” katanya pada taklimat media Unjuran Pasaran Separuh Kedua 2022 secara maya.

Baru-baru ini, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan kadar tukaran ringgit berbanding dolar AS dijangka mencecah RM5.50 bagi AS$1 akhir tahun ini jika kerajaan tidak ambil langkah bersesuaian mengekang penyusutan berterusan mata wang tempatan.

Menurut Ahli Parlimen Gua Musang, kemerosotan nilai ringgit memberi kesan yang sangat besar kepada rakyat negara ini.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, berkata jika prestasi ekonomi Malaysia masih kekal seperti mana yang dijangkakan ketika ini, adalah sukar untuk pergerakan ringgit jatuh mendadak meskipun pada kadar RM5.00 berbanding dolar AS sekali pun.

“Walaupun krisis mata wang global yang mencetuskan lonjakan mata wang selamat seperti dolar AS tidak boleh diketepikan, Malaysia boleh mengurangkan kejutan dengan meminimumkan gangguan kepada perdagangan dan aliran modalnya dan terus memastikan rizab antarabangsa yang mencukupi.

“Di peringkat domestik, Malaysia perlu mengekalkan dasar yang teguh untuk mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi, berbelanja secara berhemah dan mengekalkan inflasi pada kadar terkawal di antara 2.2 hingga 3.2 peratus tahun ini.

“Sebagai penerima manfaat harga komoditi yang tinggi, ringgit sepatutnya memperoleh semula kekuatannya berbanding dolar AS sebaik kitaran pengetatan agresif Rizab Persekutuan (Fed) AS menghampiri penghujungnya,” katanya.

Dalam pada itu, Shen Pin berkata, Rakuten Trade menyasarkan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) mampu merekodkan prestasi lebih baik untuk mencapai 1,670 mata menjelang akhir tahun.

Beliau berkata, keyakinan itu disokong jangkaan kemasukan masuk dana asing ke pasaran modal di Asia disebabkan kadar ketidaktentuan yang lebih rendah rantau ini, manakala nilai ringgit yang lemah turut memberikan lebih insentif buat pelabur asing.

“Bagi tahun 2022, kemasukan dana asing bersih ke pasaran tempatan setakat ini dianggarkan pada RM7 bilion dan trend ini dijangka berterusan untuk separuh tahun kedua, sekurang-kurangnya untuk tempoh beberapa bulan lagi.

“Kami turut menaik taraf unjuran pertumbuhan pendapatan korporat di Malaysia tahun ini daripada -0.7 peratus kepada 4.3 peratus dan ia dijangka terus meningkat kepada 5.4 peratus tahun depan,” katanya.

Bursa Malaysia susut 1.76 mata kepada 1,545 pada sesi dagangan pagi berbanding 1,546.76 yang dicatatkan pada Jumaat lalu.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini