Ramai keluar simpanan kecemasan, pinjaman duit tampung hidup

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Situasi kewangan golongan rentan yang sememangnya terkesan dari segi ekonomi sebelum COVID-19 menjadi bertambah buruk dengan ramai terpaksa mengeluarkan simpanan kecemasan dan dana persaraan untuk menampung kehidupan dalam tempoh pandemik itu.

Malah, ada yang terpaksa membuat pinjaman tambahan atau lebih buruk lagi meminjam daripada peminjam wang tidak berlesen, semata-mata untuk menampung kehidupan dalam tempoh pandemik, demikian mengikut tinjauan keseluruhan dan objektif yang dinyatakan dalam Kertas Perundingan Awam – Cadangan Penggubalan Akta Kredit Pengguna Bahagian Pertama yang dikeluarkan pada Khamis.

Kertas perundingan awam itu disediakan oleh Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna dengan sokongan daripada Kementerian Kewangan (MoF), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Dengan perniagaan yang terganggu dan kehilangan pekerjaan, kesan terburuk COVID-19 dirasai oleh mereka yang sudah terjejas dari segi ekonomi sebelum pandemik. Jurang pendapatan dan ketidaksamaan menjadi lebih ketara.

“Di Malaysia, ramai yang terpaksa mengeluarkan simpanan kecemasan atau dana persaraan mereka, malah ada yang membuat pinjaman tambahan atau lebih buruk lagi, meminjam daripada peminjam wang tidak berlesen, semata-mata untuk menampung kehidupan,” katanya.

Berdasarkan perangkaan sedia ada, hutang isi rumah Malaysia berjumlah RM1.375 trilion pada akhir 2021, berbanding RM1.27 trilion pada 2020.

Kertas perundingan awam itu juga turut menyatakan bahawa penerapan dan penggunaan teknologi kewangan (Fintech) telah mengubah sektor perkhidmatan kewangan, termasuk landskap kredit pengguna, yang mana pendigitalan telah menjadikan kredit lebih murah dan lebih mudah diakses oleh semua.

Ia berkata, dengan meningkatnya perdagangan tanpa tunai dan pembelian barangan dan perkhidmatan yang mudah dengan satu klik butang, pengguna mungkin terpengaruh untuk mengambil kredit di luar kemampuan mereka bagi memenuhi ‘kehendak’ dan bukannya ‘keperluan’.

Namun begitu, katanya, peningkatan kehadiran peserta yang tidak dikawal selia dalam ruang kredit pengguna termasuk syarikat BNPL, syarikat pemfaktoran dan pemajakan bukan bank, pembeli pinjaman terjejas dan agensi pengutip hutang (DCA) menimbulkan risiko lebih besar kepada amalan tidak adil atau bersifat mempergunakan yang sering menyasarkan isi rumah dan perniagaan kecil yang mudah terjejas.

“Apabila peserta ini berkembang dari segi skala, kemasukan mereka dalam bidang kuasa kawal selia akan membantu melindungi pengguna kredit dengan lebih baik dan memastikan pembangunan perkhidmatan kredit pengguna yang teratur pada masa hadapan,” katanya.

Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna ditubuhkan dengan kerjasama beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan bagi memacu usaha untuk memuktamadkan Rang Undang-undang Kredit Pengguna.

Selepas penggubalan Akta Kredit Pengguna, Pasukan Petugas itu akan dirasmikan dan diperbadankan sebagai Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB).

Matlamat kertas perundingan Bahagian 1 adalah untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan tentang cadangan rangka kerja kawal selia dan pendekatan pemberikuasaan bagi menggalakkan profesionalisme dan amalan yang adil oleh penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit ini ketika berurusan dengan pengguna kredit.

Bahagian 2 kertas perundingan itu, yang akan dikeluarkan pada suku keempat 2022, akan menggariskan dengan lebih lanjut mengenai perincian keperluan untuk rangka kerja pemberikuasaan, skop serta fokus dan standard yang akan dikenakan ke atas perniagaan kredit dan penyedia perkhidmatan kredit.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini