Program Visa Premium mampu tarik pelabur ke Malaysia

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Visa Premium (PVIP) Malaysia dilihat mampu membawa masuk pelaburan ke negara ini dengan menarik hartawan global menetap dan melabur di negara ini, kata penganalisis.

Ahli Ekonomi yang juga bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata pelaksanaan program berkonsepkan Residensi Melalui Pelaburan itu adalah satu idea yang baik dan mampu memberi impak positif untuk menarik pelaburan ke negara ini.

Beliau berkata, dengan syarat ketat termasuk memiliki pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan tidak dibenarkan pengeluaran tunai dalam tempoh setahun juga mampu mengelakkan ketidaktentuan kemasukan aliran modal.

“Pada pandangan saya, dari sudut pelaburan, tidak ada perkara yang negatif daripada pelaksanaan program itu. Ia mampu menarik kemasukan modal ke dalam negara dan ia adalah pelaburan jangka panjang.

“Dengan menarik hartawan global, mereka mampu menarik pelaburan masuk ke dalam negara dengan memanfaatkan rangkaian hubungan mereka di luar negara,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini memperkenalkan PVIP Malaysia bagi menarik minat hartawan global menetap dan melabur di Malaysia, yang terbuka kepada semua peringkat usia dan warga negara kecuali Israel atau negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia dan ia boleh dipohon bermula 1 Oktober ini.

Kerajaan menyasarkan seramai 1,000 peserta akan mendaftar dalam tahun pertama ia diperkenalkan, dengan anggaran hasil kepada negara sebanyak RM200 juta dan simpanan tetap sebanyak RM1 bilion.

Mengulas lanjut, Zakariah berharap kerajaan perlu memantau pelaksanaan program itu dalam memastikan keberkesanannya dan tidak timbul isu berkaitan keselamatan.

Beliau berkata, bagi memastikan keberkesanannya, adalah lebih baik peserta program itu membabitkan mereka daripada pelbagai negara berbanding hanya tertumpu kepada negara tertentu saja.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff juga melihat pelaksanaan program itu mampu membawa pelaburan tambahan ke dalam negara.

Namun begitu, beliau berkata, ia harus dilaksanakan setelah mengambil kira kemungkinan pelbagai impak.

“Sebagai contoh, saya melihat tidak ada isu berkaitan keperluan untuk memastikan mereka ada simpanan tetap di negara ini dan juga pemilikan aset seperti saham dan bon, namun apabila merujuk kepada isu perumahan, ia harus diperhalusi supaya tidak mengetepikan hak rakyat Malaysia untuk membeli rumah.

“Kita juga tidak mahu pemaju perumahan akan membina rumah yang berharga mahal semata-mata untuk menarik pembelian daripada mereka, yang akan menyebabkan rakyat kita putih mata tidak mampu memiliki rumah,” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, PVIP Malaysia tidak sama dengan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) kerana ia bersifat persaraan dan syarat menetapkan untuk bekerja atau belajar.

Namun, katanya, peserta MM2H boleh menyertai PVIP Malaysia asalkan mengikut syarat yang ditetapkan, tidak layak untuk memohon menjadi warga negara Malaysia.

Tambahnya, bagi memastikan pelaksanaan PVIP Malaysia berjalan lancar serta tidak mengganggu keselamatan negara, pihaknya menetapkan jumlah siling penyertaan peserta (termasuk tanggungan) hanya satu peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia.

Syarat ketat lain termasuk menunjukkan bukti pendapatan sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan atau RM480,000 secara tahunan, memiliki pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan tidak dibenarkan pengeluaran tunai dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, pengeluaran tunai itu boleh dilakukan bagi pembelian hartanah, rawatan kesihatan atau pendidikan selepas setahun mereka mengikuti program itu dan ia terhad kepada 50 peratus saja.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini