STOCK SAHAM.CO

PETRONAS berminat sertai projek Abadi LNG di Indonesia

Facebook
Twitter
WhatsApp

JAKARTA: Syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS menyatakan minat untuk menyertai pengambilalihan Indonesia terhadap kepentingan Shell dalam projek Abadi LNG, demikian menurut pengawal selia minyak dan gas huluan Indonesia di Parlimen, semalam (Rabu).

Kerajaan Indonesia berkata, sebuah konsortium terdiri daripada firma tenaga milik negara, Pertamina; dana kekayaan berdaulat negara, Lembaga Pelaburan Indonesia; dan beberapa syarikat lain akan mengambil alih 35 peratus kepentingan Shell dalam projek gas petroleum cecair Abadi selepas syarikat tenaga itu memberi isyarat hasratnya untuk menarik diri.

“PETRONAS juga berminat untuk menyertai dan jika boleh, bekerjasama dengan Pertamina untuk menggantikan Shell,” kata Pengerusi pengawal selia SKK Migas, Dwi Soetjipto.

PETRONAS tidak dapat memberikan kenyataan segera berhubung perkara itu.

Syarikat tenaga Jepun, Inpex Corp menguasai 65 peratus projek itu, yang turut dikenali sebagai projek gas Masela, di tenggara kepulauan Maluku, Indonesia.

Pertamina telah mengadakan kajian data dan akan menghantar tawaran tidak terikat kepada Inpex dan Shell bulan ini, tambah Soetjipto.

Inpex dijangka menghantar pelan pembangunan yang disemak semula bagi projek itu dengan memasukkan pemasangan perangkap karbon dalam pelaburannya, Disember ini.

Projek itu sebelum ini dijangka menelan kos kira-kira AS$20 bilion.

“Adalah diharapkan sejajar dengan (pelan baharu Inpex), rakan kongsi baharu juga akan dapat ditentukan. Adalah mustahil bagi Inpex untuk melakukan semakan semula tanpa mengetahui siapa rakan baharunya,” kata Soejipto.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini