Pertama Digital tamatkan perniagaan tekstil

Facebook
Twitter
WhatsApp

Pertama Digital Bhd, syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia bersedia menjadi peserta perkhidmatan digital sebenar selepas memuktamadkan untuk keluar daripada perniagaan tekstil.

Dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), Pertama Digital menyelesaikan pelaksanaan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam anak syarikat tekstilnya yang berpangkalan di China, BeTop, kepada Gifted Investments Limited (GIL) dengan jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM70 juta.

Sebanyak 99 peratus undian diterima untuk menyokong penjualan aset itu.

EGM secara maya itu dihadiri oleh pemegang saham dan wakil serta ahli lembaga pengarah Pertama Digital.

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Pertama Digital, Tun Zaki Azmi yang mempengerusikan EGM itu berkata, dengan pelupusan berkenaan, syarikat juga akan mengklasifikasikan semula Pertama Digital daripada syarikat berasaskan tekstil kepada perniagaan digital dan patuh Syariah.

“Penyelesaian digital yang ditawarkan setakat ini telah diterima dengan sangat baik dan menunjukkan prospek pertumbuhan yang cerah.

“Kami membangun dan mengendalikan eJamin, penyelesaian pembayaran ikat jamin mahkamah melalui telefon pintar pertama di dunia, yang kini digunakan di mahkamah Malaysia.

“Kami juga secara eksklusif mengendalikan mySMS 15888, perkhidmatan pesanan sedia ada yang digunakan oleh agensi kerajaan. Selain itu, kami juga memiliki aplikasi pembayaran mudah alih MyPay,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Strateginya, Saify Akhtar, berkata Pertama Digital kini bebas untuk melaksanakan strategi inovatif dengan lebih cekap untuk mengubah cara agensi kerajaan dan perusahaan mendekati pendigitalan dalam sektor yang berkembang pesat, bukan hanya di Malaysia, tetapi dalam pasaran baru muncul lain seperti Indonesia, Bangladesh dan Nigeria.

“Tambahan pula, sebagai syarikat Malaysia, pemegang kepentingan dan kepimpinan kami kini akan mempunyai majoriti tempatan.

“Syarikat ini akan terus menyampaikan penyelesaian dan perkhidmatan digital yang pantas untuk prestasi dalam perkongsian rapat dengan kerajaan serta perniagaan,” katanya.

Sebagai tambahan kepada pelbagai penyelesaian digital yang ditawarkan pada masa ini, Pertama Digital sedang dalam proses melancarkan neobank pertama Malaysia dengan kerjasama bank sedia ada.

Tidak seperti bank digital, neobank tidak memerlukan lesen perbankan kerana kumpulan boleh menggunakan lesen perbankan daripada rakan kongsi perbankan sedia ada.

Kumpulan juga akan secara aktif mengejar sasaran pemerolehan dalam sektor teknologi kerajaan.

Sehingga kini, pelupusan BeTop berkembang sehingga ‘tranche’ kedua, yang telah selesai pada 16 Julai 2021.

Pada 21 September 2020, bayaran tunai pertama sebanyak RM12 juta diterima daripada GIL, diikuti oleh pembayaran tunai kedua sebanyak RM18.515 juta pada 16 Julai 2021.

Pada masa ini, Pertama Digital memiliki pegangan sebanyak 52 peratus dalam BeTop, berdasarkan perjanjian ‘tranche’ kedua.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini