Pertama Digital rancang bank neo pertama Malaysia

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Pertama Digital Bhd merancang untuk menubuhkan bank neo pertama di Malaysia menerusi perkongsiannya dengan sebuah bank di Malaysia.

Bank neo menawarkan perkhidmatan perbankan secara digital sepenuhnya dan tiada kehadiran fizikal, kebiasaannya dikendalikan menerusi perkongsian dengan bank tradisional dan memberi tumpuan kepada pasaran lebih khusus.

Berbeza dengan bank digital, bank neo tidak perlu mempunyai lesen perbankan kerana boleh menggunakan lesen perbankan daripada rakan kongsi.

Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar, berkata pengumuman mengenai kerjasama di antara pihaknya dengan sebuah bank tempatan itu akan dibuat pada suku keempat tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya masih mengadakan perbincangan dengan lima bank tempatan sebelum memuktamadkan untuk memilih sebuah bank sebagai rakan kongsi.

“Selepas itu, proses untuk menubuhkan bank neo ini dijangka mengambil masa 12 bulan dan kami jangka ia akan boleh mula beroperasi pada akhir tahun depan.

“Penubuhan bank digital dijangka membabitkan pelaburan sekitar RM500 juta untuk tempoh tiga tahun. Namun, bagi penubuhan bank neo, ia dijangkakan membabitkan sekitar 20 peratus daripada jumlah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pertama Digital, Tun Zaki Azmi.

Sementara itu, Zaki berkata, Pertama Digital sedang meninjau peluang yang lebih besar dalam ruang pendigitalan kerajaan dan enterpris, dengan rancangan untuk mengembangkan lagi penawarannya di lebih banyak lokasi dan menyediakan perkhidmatan kepada orang awam dengan lebih meluas.

Katanya, teknologi mudah alih dan digital telah berkembang pada kadar yang memberangsangkan, manakala penyepaduan penyelesaian IT oleh agensi kerajaan dan enterpris di seluruh negara telah memperoleh momentum yang ketara.

“Ini juga telah dicerminkan dalam kemajuan dan pencapaian produk Pertama Digital, seperti eJamin yang melaporkan sejumlah RM121.5 juta kutipan ikat jamin telah dikumpul pada tahun kalendar 2021.

“MyPay Coin Conversion yang telah mengumpul sembilan juta keping syiling terbiar bernilai hampir RM1.7 juta sejak dilancarkan pada April 2021, manakala MySMS yang menyokong pengesanan kenalan di seluruh negara dan seterusnya program vaksinasi COVID-19 menerusi perkhidmatan pesanan bersepadu kepada setiap penduduk Malaysia,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini