Permintaan minyak sawit masih tinggi

Facebook
Twitter
WhatsApp

BALI: Permintaan minyak sawit dijangka kekal kukuh pada 2022, terutama dalam sektor makanan susulan pembukaan semula sektor ekonomi dan pintu sempadan antarabangsa, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, negara pengeluar minyak sawit mempunyai kawalan untuk mendorong naratif yang lebih baik mengenai minyak sawit di peringkat global.

Zuraida menekankan bahawa sekarang adalah masa yang sesuai untuk negara pengeluar minyak sawit dengan kerjasama rakan sekutu dalam negara pengimport minyak sawit untuk menyebarluaskan manfaat minyak sawit.

“Usaha yang diselaraskan dalam menyampaikan mesej yang kuat khususnya kepada Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) adalah perlu untuk mengiktiraf agenda kemampanan negara anggota dan yang paling penting ialah menghentikan semua dakwaan tidak berasas terhadap produk dan industri minyak sawit,” katanya semasa majlis ke-10 Mesyuarat Peringkat Menteri Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOC) di sini.

Zuraida yang mempengerusikan bersama mesyuarat itu berkata, CPOPC akan diberi peranan utama dalam menangani perkara tersebut serta akan mengambil langkah proaktif dalam mempromosikan agenda kemampanan dan mengetengahkan semua usaha Malaysia dan Indonesia dalam perkara itu.

Mesyuarat peringkat menteri itu telah dijalankan dalam format hibrid dan wakil negara pemerhati termasuk Naib Menteri Hal Ehwal Pertanian Colombia, Juan Gonzalo Botero Botero serta Menteri Pertanian dan Penternakan Honduras, Laura Suazo masing-masing telah menyampaikan ucapan.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto yang juga pengerusi CPOPC, menekankan peranan strategik yang boleh dimainkan oleh minyak sawit sebagai sebahagian daripada penyelesaian kepada krisis makanan dan tenaga global semasa.

“Dalam hal ini, adalah penting bagi negara pengeluar minyak sawit untuk memanfaatkan momentum permintaan dunia yang semakin meningkat untuk minyak sawit dan daya saing minyak sawit yang dihasilkan secara mampan dalam pasaran minyak sayuran global,” katanya.

Justeru, Hartarto menekankan kepentingan mempromosikan pengiktirafan seluruh dunia terhadap kemampanan minyak sawit termasuk antara lain melalui pembabitan berterusan dengan pengguna dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan, pembinaan kapasiti dan pelaburan untuk petani berskala kecil bagi memastikan pengeluaran minyak sawit yang mampan.

Sementara itu, Indonesia dan Malaysia mengulangi komitmen untuk memastikan CPOPC meneruskan advokasinya untuk minyak sawit yang mampan selain mendapat manfaat daripada Indonesia yang menyandang jawatan Presiden G20 untuk terus mempromosikan misi CPOPC, membangun dan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara pengeluar minyak sawit dan pihak berkepentingan yang berkaitan serta memastikan manfaat jangka panjang minyak sawit untuk kesejahteraan masyarakat dunia.

Menteri juga mengharapkan negara pemerhati iaitu Colombia, Ghana, Honduras dan Papua New Guinea supaya mempercepatkan proses ratifikasi untuk menjadi ahli penuh menjelang Mesyuarat Peringkat Menteri akan datang.

Dalam perkembangan lain, Indonesia dan Malaysia bersetuju mempertimbangkan untuk meningkatkan mandat biofuel masing-masing kepada B35 untuk Indonesia dan B20 bagi Malaysia bertujuan meningkatkan penggunaan domestik.

Menteri dalam mesyuarat itu menyambut baik Malaysia sebagai tuan rumah Mesyuarat Menteri ke-11 menjelang Mac 2023.

Mereka juga mengalu-alukan pegawai Sekretariat CPOPC yang baru dilantik, Dr Rizal Affandi Lukman sebagai Pengarah Eksekutif, Datuk Nageeb Wahab sebagai Timbalan Pengarah Eksekutif, Dr Puah Chiew Wei sebagai Pengarah Strategi dan Dasar serta Dr Witjaksana Darmosarkoro sebagai Pengarah Kelestarian dan Pekebun Kecil.

Tempoh pelantikan mereka adalah untuk tempoh 1 Jun 2022 hingga 31 Mei 2025.

Menteri juga merakamkan penghargaan kepada bekas Pengarah Eksekutif CPOPC, Tan Sri Datuk Dr Yusof Basiron dan bekas Timbalan Pengarah Eksekutif CPOPC, Dupito D. Simamora atas perkhidmatan mereka yang bermula dari 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2022.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini