Perdagangan, pelaburan Malaysia kekal kukuh – Azmin

Facebook
Twitter
WhatsApp

SERDANG: Prestasi perdagangan dan pelaburan negara dijangka kekal kukuh disokong tindakan proaktif yang dilaksanakan kerajaan meskipun berdepan persekitaran ekonomi mencabar termasuk perkembangan terkini ketegangan geopolitik di Selat Taiwan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sebagai negara perdagangan, sudah pasti negara akan terkesan jika wujud sebarang konflik geopolitik.

Namun begitu, beliau berkata, asas ekonomi negara kekal utuh dan negara telah melalui pelbagai cabaran yang mana hasil dasar yang dilaksanakan dalam dua tahun ini membuahkan hasil dengan ekonomi terus berkembang.

Beliau berkata, kerajaan akan terus menyediakan ekosistem mesra pelaburan dan terus menarik pelaburan asing ke dalam negara dan pada masa sama meningkatkan kemampuan syarikat tempatan.

Katanya, antara langkah proaktif yang dilaksanakan kerajaan termasuk menyertai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).

“Kalau melihat kepada prestasi ekonomi semakin meyakinkan dan memberangsangkan. Pada Jun saja jumlah perdagangan luar Malaysia RM270 bilion untuk satu bulan saja dan eksport pula melepasi RM140 bilion.

“Ini membuktikan apabila kita membuka sempadan permintaan luaran meningkat, maka peserta tempatan perlu meningkatkan kapasiti dan produktiviti bagi memenuhi pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemeteraian kerjasama strategik anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sempena MAHA 2022 di sini.

Mohamed Azmin berkata, kementeriannya akan terus memberi sokongan kepada syarikat tempatan untuk mengeksport produk tempatan termasuk makanan dan pertanian.

Beliau berkata, perjanjian kerjasama strategik yang dimeterai hari ini menunjukkan sokongan jitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk membantu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengeksport produk mereka ke luar negara.

“MITI melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus beri sokongan kepada usaha pemain tempatan untuk mengeksport produk makanan ke luar negara,” katanya.

Mengenai ratifikasi CPTPP, Mohamed Azmin berkata, Malaysia komited untuk menyelesaikan proses ratifikasi perjanjian perdagangan bebas itu menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan mendapati manfaat yang diperoleh dengan meratifikasi perjanjian perdagangan bebas itu lebih baik berbanding kos, malah perniagaan di negara ini juga menyambut baik untuk mempercepatkan pelaksanaannya.

Katanya, masih ada empat pindaan akta dilakukan bagi menyelesaikan proses ratifikasi itu.

Sementara itu, pada majlis permeteraian kerjasama strategik itu membabitkan memorandum perjanjian antara usahawan PKS Malaysia dan King Sight (HK) Group of Companies bagi pengeksportan produk agromakanan ke pasaran Hong Kong dan China serta perlantikan ejen pemasaran luar negara bagi penerokaan dan perluasan eksport produk agromakanan Malaysia.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini