STOCK SAHAM.CO

Perdagangan negara tidak terkesan kelemahan ringgit

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Prestasi ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tidak menjejaskan prestasi perdagangan negara setakat ini, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, statistik perdagangan bagi bulan April yang akan dibentangkan kepada Kabinet esok menyaksikan kedudukan Malaysia masih kekal kukuh.

“Kita percaya ia akan terus dipertahankan untuk bulan-bulan akan datang dengan syarat, kita perlu merancakkan aktiviti ekonomi serta meningkatkan pelaburan yang berkualiti kerana ia dapat membantu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam negara,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, prestasi perdagangan Malaysia adalah cukup kukuh dan membanggakan untuk beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pada 2021 sehingga menyaksikan nilai eksport terus berkembang walaupun dunia masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19

“Esok saya akan membentangkan kepada Jemaah Menteri mengenai prestasi perdagangan negara untuk bulan April 2022 dan sekali lagi angka yang telah kita rekodkan amat memberangsangkan.

“Bagaimanapun kita sedia maklum nilai ringgit kini lemah berbanding dolar AS dan seperti yang telah ditegaskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada situasi kelemahan ringgit pada ketika ini.

“Namun, pemantauan sedang dibuat dan kita yakin kedudukan ringgit akan lebih stabil dan akan kembali kukuh dengan langkah-langkah yang sedang diambil,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat faktor di luar kawalan seperti situasi Russia dan Ukraine yang tidak menentu.

Selain itu, katanya kelembapan ekonomi China akibat penutupan sempadan masih berterusan dan pasti memberi kesan kerana negara itu adalah rakan dagang terpenting untuk Malaysia.

“Bagaimanapun, aktiviti ekonomi dalam negara masih rancak dan yakin apabila keadaan itu semakin rancak, kita boleh menangani masalah ini.

“Sebagai contoh, permintaan luaran semakin meningkat dan apabila ia meningkat, PKS perlu meningkatkan produktiviti dan pengeluaran. Ini akan mengembangkan prestasi eksport negara untuk memenuhi permintaan luaran ini.

“Keduanya, walaupun nilai ringgit sekarang kurang stabil tetapi kita lihat jumlah pelaburan yang dapat ditarik baru-baru ini amat memberangsangkan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, ini dibuktikan dalam misi perdagangan di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini yang menyaksikan malaysia berjaya menarik pelaburan bernilai RM16.2 bilion.

“Ini adalah pelaburan berkualiti dan lestari yang bukan berintensifkan tenaga pekerja asing, tetapi berintensifkan teknologi dan inovasi yang sekali lagi dapat merancakkan aktiviti ekonomi.

“Sektor pembuatan perlu pantas menyambut pelaburan baharu ini kerana ia memerlukan permintaan yang lebih tinggi.

“Sebagai contoh, industri semikonduktor dan sektor elektrik dan elektronik (E&E) kita telah jauh ke hadapan, ini akan membantu Malaysia untuk segera memulihkan ekonomi dan menstabilkan ringgit,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini