STOCK SAHAM.CO

Peraturan perdagangan perlu paradigma baharu

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Peraturan perdagangan perlu diperkenalkan merangkumi paradigma baharu abad ke-21 bagi memastikan pertumbuhan lebih pantas dan adil bagi ekonomi di rantau ini, selain memupuk keterangkuman dan kemakmuran bersama.

Gesaan itu dibuat Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada mesyuarat tidak rasmi Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik untuk Kemakmuran (IPEF) yang diadakan di Paris, di mana 13 negara rakan kongsi lain turut mengambil bahagian.

Dalam mesyuarat yang dipengerusikan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Katherine Tai, Mohamed Azmin mengulangi pendirian Malaysia bahawa rangka kerja itu sememangnya alat diplomasi ekonomi yang penting dalam menjalin hubungan lanjut antara AS dan rantau Indo-Pasifik.

Beliau menegaskan, ketika dunia bergerak ke arah penumpuan isu yang lebih besar di seluruh dunia, kepentingan strategik dan ekonomi IPEF terletak pada pengukuhan ekosistem perdagangan rantau ini, memberikan dorongan untuk melonjakkan pembabitan dan kerjasama ekonomi.

“Masanya sudah tiba untuk memulakan paradigma baharu abad ke-21, untuk memastikan pertumbuhan yang lebih pantas dan adil bagi ekonomi di rantau ini, serta memupuk keterangkuman dan kemakmuran bersama,” katanya.

Mengenai tonggak perdagangan, prinsip utama di bawah kebimbangan keutamaan IPEF, Mohamed Azmin menggesa penyelesaian bersama isu perdagangan melalui perundingan dan dialog kerana pendekatan sedemikian akan lebih menyeluruh.

Beliau mencadangkan agar proses rundingan yang lebih dinamik dan komprehensif harus diberikan untuk memastikan bahawa penggunaan peraturan dan peruntukan memberi keadilan serta hasil yang saksama.

“Ini penting memandangkan perbezaan dalam status pembangunan sosioekonomi dalam kalangan rakan kongsi,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, rakan kongsi IPEF juga telah dimaklumkan mengenai kemajuan Malaysia dalam meratifikasi konvensyen mengenai amalan buruh.

Katanya, ia termasuk Protokol ILO 29 dan pengenalan pelbagai perundangan, dengan yang terbaharu ialah meluluskan Akta Pekerjaan (Pindaan) 2021 pada 30 Mac 2022 bagi melindungi hak pekerja asing, termasuk pencegahan buruh paksa, pembayaran gaji melalui akaun bank dan perlindungan kepada semua pekerja.

“Pihak berkuasa Malaysia juga telah mengambil tindakan proaktif dengan mempertingkatkan penguatkuasaan dan langkah berkanun untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan buruh antarabangsa, khususnya Akta Piawaian Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini