STOCK SAHAM.CO

Penguatkuasaan ketat banteras penipuan pelaburan – SC

KUALA LUMPUR: (SC) telah mengeluarkan 24 perintah henti operasi, 13 sekatan pentadbiran dan menyekat 143 laman web sepanjang tahun lalu bagi membanteras aktiviti tidak berlesen.

Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar, berkata satu pasukan petugas dalaman juga ditubuhkan untuk menyiasat skim penipuan pelaburan dan firma klon yang menyemak 159 akaun bank yang telah mengenal pasti 32 individu yang berkepentingan.

“Kami terus melaksanakan program pendidikan pelabur utama melalui saluran digital. Program celik digital kepada warga emas dan siri InvestSmart secara dalam talian turut diadakan untuk merapatkan jurang digital.

“SC terus melaksanakan kuasa penguatkuasaannya terhadap pelanggaran undang-undang sekuriti dengan menggunakan pelbagai instrumen penguatkuasaan yang meluas yang ada di bawah undang-undang sekuriti, iaitu pendakwaan jenayah, tindakan penguatkuasaan sivil, pengeluaran kompaun dan sekatan pentadbiran.

“Pada 2021, melalui tindakan penguatkuasaan sivil, kami telah mengembalikan sebanyak RM2.7 juta kepada 721 pelabur yang telah mengalami kerugian akibat pelanggaran terbabit,” katanya dalam Laporan Tahunan 2021 SC.

Syed Zaid berkata, SC telah meningkatkan keupayaan pemantauan pasaran disebabkan naik turun dan ketidaktentuan pasaran yang berterusan, termasuk penyeliaan aktiviti bon korporat pengambilalihan dengan lebih menyeluruh.

Katanya, penilaian seliaan yang kerap dan semakan tematik telah dijalankan untuk memantau kedudukan kecairan pengantara SC dan menentukan keupayaan mereka untuk menangani tekanan penebusan.

“Pada tahun berkenaan, kami juga telah mengemas kini Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) dengan mengambil kira perubahan kepada struktur perniagaan dan kepentingan pertimbangan terhadap kemampanan demi melangkah ke hadapan.

“Kami juga telah memulakan kolaborasi pertama kami bersama pihak akademik melalui penyampaian beberapa siri syarahan mengenai tadbir urus korporat kepada pelajar institut pengajian tinggi.

“Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat 2021-2023 SC (Keutamaan Strategik CG) melambangkan satu lagi langkah ke hadapan dalam meningkatkan kepimpinan lembaga pengarah serta menerapkan pertimbangan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam amalan korporat domestik,” katanya.

Pada 2021, SC menyemak pelbagai pelanggaran undang-undang sekuriti bagi tujuan tindakan penguatkuasaan, yang timbul daripada pemantauan aktif, penyeliaan dan aduan yang diterima.

Menurut Laporan Tahunan 2021 SC, lebih 40 peratus kes yang disemak untuk tindakan penguatkuasaan berkaitan dengan penipuan sekuriti, pelanggaran penzahiran dan aktiviti sejajar dengan keutamaan penguatkuasaan SC.

“Jumlah siasatan aktif setakat 31 Disember 2021 adalah 46. SC terus menumpukan sebilangan besar sumber untuk menjalankan siasatan berkaitan dengan kesalahan penipuan sekuriti dan manipulasi pasaran, manakala siasatan terhadap salah laku korporat muncul sebagai peratus siasatan aktif kedua tertinggi yang dijalankan pada 2021.

“Tahun lalu juga, SC memuktamadkan 22 penyiasatan. Selaras dengan keutamaan penguatkuasaan SC, lebih daripada 55 peratus daripada penyiasatan diselesaikan pada 2021 berkaitan dengan aktiviti tidak berlesen dan penipuan sekuriti. Salah laku korporat, yang merangkumi 14 peratus daripada jumlah penyiasatan yang lengkap, termasuk pelanggaran penzahiran berkaitan undang-undang sekuriti yang menjadi salah satu keutamaan penguatkuasaan SC pada 2021.

Menurut laporan itu, SC telah meneliti 109 kotak dokumen dan peranti digital untuk mengumpul maklumat yang berkaitan.

“Pasukan forensik digital SC pula secara berasingan telah menyemak dan memperoleh bukti digital daripada 72 peranti digital dan 138 sumber dalam talian.

“Pada 2021, Pegawai Penyiasat SC merakam keterangan saksi daripada 142 individu. 65 peratus daripada keterangan berkenaan direkodkan daripada pelabur/pemegang akaun sekuriti, kakitangan serta pengarah/pengurusan kanan syarikat senaraian awam.

“Di samping pengumpulan bukti berdokumen dan lisan di peringkat tempatan, SC mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa pengawal selia asing di bawah Memorandum Persefahaman Pelbagai Hala (MMoU) Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) bagi mendapatkan bukti terutamanya dokumen berkaitan dengan transaksi perbankan dan sekuriti daripada entiti asing dan pencarian individu yang dikehendaki oleh SC.

Laporan itu menyebut, SC telah membuat 36 permintaan untuk bantuan siasatan kepada 15 pihak berkuasa pengawal selia asing tahun lalu.

“Sebagai sebahagian daripada MMoU, SC memberi bantuan kepada tiga pihak berkuasa pengawal selia asing berhubung empat permintaan bantuan siasatan,” katanya.

Pada 2021, sebanyak 136 jumlah sekatan pentadbiran telah dikenakan oleh SC atas pelbagai salah laku dan pelanggaran undang-undang sekuriti termasuk, penyerahan kepada SC prospektus yang mengandungi penyata kewangan yang palsu atau mengelirukan dan pelanggaran Garis Panduan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML).

“Sekatan yang dikenakan kepada pihak yang melakukan pelanggaran terdiri daripada celaan, pengeluaran kenyataan awam, dikenakan penalti dan perintah, keperluan untuk membuat pengembalian wang dan keengganan untuk menerima atau mempertimbangkan sebarang pengemukaan kepada SC di bawah Bahagian VI Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA),” menurut laporan itu.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular