Pengenalan akta dijangka lonjakan rokok seludup – BAT

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: British American Tobacco Malaysia Bhd (BAT Malaysia) menjangka langkah Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok berpotensi memacu lonjakan rokok seludup di Malaysia.

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem, berkata larangan yang keras akan memacu pasaran tembakau haram yang sudah menyumbang hampir 60 peratus daripada tembakau yang dijual di Malaysia.

Beliau berkata, ia sekaligus akan membawa kesan negatif kepada kesihatan awam serta menyuburkan kegiatan penyeludup.

Katanya, ia juga akan memberi impak yang besar kepada ekonomi Malaysia yang sudah bergelut untuk pulih daripada pandemik COVID-19 global.

“Industri, pekerjaan dan pertumbuhan akan terjejas. Hasil kerajaan akan jatuh dengan ketara.

“Walaubagaimanapun kami memuji pendirian proaktif KKM dalam mengurangkan kesan kesihatan akibat merokok tetapi tidak bersetuju bahawa larangan adalah cara untuk mencapainya.

“Larangan merokok generasi akan datang tidak pernah diuji di dunia nyata, tidak mempunyai sebarang bukti saintifik tentang keberkesanan dan berkemungkinan memudaratkan agenda kesihatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Salem berkata, BAT Malaysia sebaliknya percaya kepada pendekatan holistik yang mengukuhkan seperti peranan pengurangan bahaya dan alternatif yang kurang berbahaya kepada merokok.

Beliau berkata, dasar yang menggalakkan perokok dewasa beralih kepada alternatif tersebut juga antara kaedah cadangan serta penguatkuasaan dan kawalan pasaran tembakau haram untuk memastikan bahawa rokok tidak boleh diakses dengan lebih mudah.

Kementerian katanya harus meneruskan rangka kerja kawal selia berasaskan sains seperti New Zealand dan United Kingdom, di mana rokok elektronik diakui kurang berbahaya dan alternatif yang berdaya maju untuk mengurangkan kelaziman merokok.

“Pengurangan bahaya tembakau adalah cara paling berkesan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat merokok tanpa memacu pertumbuhan pasaran gelap tembakau dan menjenayahkan seluruh generasi akan datang.

“Perlu beralih kepada alternatif yang kurang berbahaya dan harus dipertimbangkan dan bukannya larangan.

“Kami juga menyeru kementerian untuk memasukkan pemain industri dalam proses perundingan keseluruhan dalam membangunkan peraturan yang sesuai untuk produk rokok elektronik,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini