STOCK SAHAM.CO

Peminjam bermasalah disaran hubungi bank, AKPK

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menasihatkan peminjam yang berdepan kesukaran membayar balik ansuran pinjaman menghubungi bank mereka atau Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) secepat mungkin untuk mengetahui pilihan bantuan yang disediakan.

Bank pusat itu mengambil maklum bahawa kenaikan kadar faedah berikutan pelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR) mungkin lebih sukar bagi sesetengah individu, terutama mereka yang mempunyai pinjaman berkadar terapung.

“Bantuan ada disediakan. Jika anda menghadapi kesukaran untuk membayar balik ansuran pinjaman bulanan anda, langkah terbaik yang anda boleh ambil adalah untuk menghubungi bank anda atau AKPK secepat mungkin untuk mengetahui mengenai pilihan bantuan yang disediakan,” katanya dalam soalan lazim terkini mengenai Pernyataan Dasar Monetari (MPS).

Mengulas lanjut, BNM berkata, bagi pinjaman berkadar terapung, bayaran balik pinjaman boleh berubah jika OPR dilaraskan.

Jelasnya, secara kelaziman, kenaikan kadar itu akan memberikan kesan pada pinjaman perumahan dan sesetengah pinjaman peribadi.

Katanya, bagi peminjam individu, kadar faedah pinjaman akan meningkat pada jumlah yang sama seperti kenaikan OPR, contohnya, jika OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas, kadar faedah bagi pinjaman perumahan juga akan meningkat kepada 3.75 peratus sekiranya kadar sebelum ini ialah 3.50 peratus.

“Ansuran pinjaman akan meningkat seiring dengan kadar faedah yang lebih tinggi dan bank akan memaklumkan kepada anda dengan sewajarnya. Anda akan menerima makluman daripada bank, yang memberikan penjelasan mengenai jumlah bayaran balik pinjaman yang akan berubah.

“Makluman ini akan menggariskan dengan jelas mengenai kadar faedah terkini, jumlah bayaran balik baharu serta tarikh kuat kuasa supaya anda boleh membuat persediaan sewajarnya,” jelasnya.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM minggu lalu telah membuat keputusan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

Ia adalah kenaikan kadar penanda aras pinjaman dan simpanan di negara ini buat kali keempat berturut-turut tahun ini berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Kenaikan kali keempat secara berturut-turut itu juga adalah pertama kali sejak penanda aras kadar faedah pinjaman tempatan itu diperkenalkan pada 2004.

BNM berkata, selain pinjaman, kadar faedah yang lebih tinggi juga mempengaruhi simpanan, yang mana jika penyimpan mendepositkan wang ke dalam akaun bank yang membayar faedah, mereka akan mendapat pulangan yang lebih tinggi bagi simpanan mereka.

Contohnya, bagi kenaikan OPR pada Mei dan Julai 2022 baru-baru ini, kadar deposit tetap telah meningkat sebanyak 50 mata asas bagi kebanyakan bank, katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini