Pembekuan pekerja Indonesia jejas pemulihan tiga industri

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Pembekuan penghantaran pekerja dari Indonesia akan menyukarkan pemulihan industri pembuatan, perladangan dan pembinaan untuk kembali ke tahap sebelum pandemik, demikian menurut penganalisis.

CGS-CIMB dalam nota penyelidikannya berkata, industri pembuatan berdepan dengan kekurangan 1.2 juta pekerja, diikuti industri pembinaan dan perladangan yang masing-masing kekurangan 550,000 dan 120,000 pekerja.

Katanya, perkembangan itu adalah sesuatu negatif untuk pasaran kerana langkah pembekuan sementara oleh Indonesia akan melewatkan pengambilan pekerja asing ke negara ini.

“Ini berkemungkinan memburukkan lagi masalah kekurangan pekerja yang dihadapi oleh semua sektor di Malaysia dan melambatkan pemulihan operasi mereka seperti sebelum pandemik.

“Menurut Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain (Syed Husman), Indonesia adalah negara sumber penting untuk bekalan pekerja asing, menyumbang 35 peratus pekerja asing dan 70 peratus pembantu rumah di Malaysia.

“Kami berpandangan bahawa sektor perladangan akan terjejas paling teruk disebabkan oleh pembekuan ini kerana ia lebih bergantung kepada pekerja Indonesia untuk aktiviti penuaian di ladang, yang mana adalah kritikal untuk aktiviti pengeluaran pada bulan mendatang,” katanya.

Firma penyelidikan itu menjelaskan, kelewatan penghantaran pekerja asing bolehh menyebabkan pengeluaran minyak sawit untuk separuh kedua 2022 jatuh di bawah paras berbanding setahun lalu.

“Kekurangan pekerja, digabungkan dengan peningkatan kos (gaji minimum dan baja) selain kejatuhan harga minyak sawit mentah (MSM), akan menjadi negatif untuk pendapatan pada separuh kedua 2022, sekali gus menimbulkan risiko kemerosotan kepada pendapatan peladang di Malaysia.

“Selain itu, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Bestinet pada 6 Julai lalu berhubung mengenai dakwaan penyelewengan dalam pemilihan 25 syarikat Bangladesh sebagai ejen untuk membawa masuk pekerja, juga boleh menyebabkan ‘sedikit kelewatan’ dalam memproses permohonan, menurut Menteri Sumber Manusia.

“Bestinet membekalkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), yang digunakan untuk memproses pengambilan pekerja dari semua negara sumber. Secara keseluruhan, kami negatif terhadap berita ini memandangkan ia menimbulkan risiko penurunan kepada pendapatan korporat,” katanya.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, berkata Indonesia menghentikan sementara semua proses berkaitan pengambilan pekerja dari negaranya di semua sektor berkuat kuasa serta merta.

Katanya, ia susulan wujud salah faham dalam penggunaan sistem yang sudah dimeterai untuk digunakan sebelum ini dan pihaknya sudah menghantar maklum balas itu kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berhubung perkara itu.

“Mana-mana proses pengambilan yang sudah diluluskan sebelum ini akan diteruskan, cuma permohonan baharu tidak dilakukan,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini