STOCK SAHAM.CO

Pelaksanaan ICPT bukan jana untung TNB

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) bukan untuk menjana keuntungan kepada syarikat utiliti nasional itu, sebaliknya menyelaras semula peningkatan kos bahan api dan penjanaan elektrik.

TNB berkata, ICPT membolehkan ia menyelaraskan harga secara fleksibel, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor mampu labur, mengembang dan menyediakan industri yang kompetitif dan cekap.

Katanya, TNB tidak menggunakan surcaj daripada pengguna komersial dan perindustrian (C&I) dalam ICPT untuk melabur semula ke dalam sistem.

Sebaliknya, ia menjelaskan surcaj itu adalah kos tambahan bahan api dan penjanaan berjumlah RM1.67 bilion bagi tempoh 1 Julai sehingga 31 Disember 2021 yang dibelanjakan TNB bagi pihak industri tenaga dalam memastikan bekalan elektrik berterusan kepada pengguna.

“Sebagai syarikat infrastruktur negara, TNB bertekad terus menjalankan peranan kami untuk berbakti kepada negara. Di TNB, kami mengambil serius hal ini dan percaya ekonomi pasca pandemik perlu dirangsang semula melalui penyelesaian secara kemampanan,” katanya.

Mengulas lanjut, TNB berkata, surcaj 3.7sen/kWj yang dikenakan pada pengguna C&I di bawah mekanisma ICPT adalah kesan daripada kenaikan harga bahan api berjumlah RM1.67 bilion dari Julai ke Disember 2021 dan kadar purata ‘applicable coal prices’ (ACP) melambung ke AS$200 satu tan dalam tempoh itu.

“Kerajaan membantu kesan ini dengan penggunaan RM715 juta melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) untuk mengekalkan rebat dua sen/kWh kepada pengguna domestik bagi tempoh Januari sehingga Jun 2022.

“Namun, dana KWIE semakin berkurang kerana sebahagian besarnya digunakan untuk menampung diskaun elektrik semasa COVID-19 (2020 dan 2021) serta tidak mencukupi untuk menampung impak ICPT kepada pengguna C&I bagi tempoh Januari hingga Jun 2022,” katanya.

TNB berkata, krisis tenaga global semasa memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia, terutama industri tenaga termasuk kenaikan harga minyak mentah dunia, arang batu dan gas baru-baru.

Ia menjelaskan, ini memberi tekanan kepada keupayaan sektor elektrik untuk mengekalkan kos penjanaan elektrik yang rendah di samping menjamin bekalan elektrik yang mampan.

“Tahun lalu, kenaikan harga bahan api menjadi fenomena global yang didorong oleh peningkatan permintaan bekalan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi pasca pandemik, isu pencatuan bekalan di negara pengeluar utama akibat kekangan pembekalan pada peringkat domestik, termasuk faktor cuaca yang menjejaskan pengeluaran bahan api ini,” katanya.

TNB berkata, sejak pelaksanaan ICPT pada 2015, pengguna C&I telah menerima faedah daripada penjimatan kos bahan api dan penjanaan dalam bentuk rebat ICPT.

Katanya, ia merangkumi jumlah keseluruhan rebat ICPT dan surcaj yang dikenakan kepada rakyat dengan rebat berjumlah RM8.6 bilion dengan RM6.6 bilion adalah pengguna C&I, manakala jumlah surcaj adalah RM3.7 bilion.

“Di bawah Kerangka Kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), impak daripada kenaikan atau penurunan kos bahan api dan penjanaan adalah neutral dari segi kewangan kepada TNB dan tidak memberi kesan kepada operasi perniagaan TNB.

“Sekiranya berlaku penurunan harga bahan api dan kos penjanaan secara global, simpanan akan dikembalikan kepada rakyat sebagai rebat ICPT.

“Jika berlaku kenaikan harga bahan api dan kos penjanaan, lebihan kos akan disalurkan kepada rakyat sebagai surcaj ICPT,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini