Pelaburan diluluskan dijangka catat rekod sekali lagi – Azmin

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin meraih sekali lagi rekod jumlah pelaburan diluluskan yang besar pada tahun ini khususnya dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata peralihan ke arah endemik serta pembukaan kembali ekonomi global menjadi pemangkin untuk pengukuhan pelaburan yang diluluskan ini.

“Pada tahun lalu meskipun ekonomi global masih berdepan persekitaran yang mencabar akibat pandemik COVID-19, kita berjaya mencatatkan pelaburan diluluskan yang tertinggi dalam sejarah berjumlah RM306.5 bilion.

“Ini adalah petanda langkah dilaksanakan kerajaan dalam pemulihan ekonomi serta pengukuhan ekosistem pelaburan negara berhasil.

“Tahun ini, jumlah pelaburan ini dijangka akan dapat dikekalkan atau lebih daripada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Seminar Pelaburan Dalam Negeri anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini.

Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) pada 2021 melebihi jangkaan, meningkat 83.1 peratus daripada yang direkodkan pada 2020.

Ini sekali gus menjadikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk pengembangan perniagaan global dan serantau.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, semua pihak juga ketika ini perlu menjalin kerjasama dan mencari strategi peluang baharu bagi pertumbuhan dan pengembangan perdagangan terutamanya DDI.

Beliau berkata, DDI pada tahun lalu menunjukkan sumbangan yang kukuh kepada keseluruhan prestasi pelaburan negara.

Katanya, bagi suku pertama 2022, daripada jumlah RM42.8 bilion pelaburan yang diluluskan, DDI telah menyumbang 35 peratus berjumlah RM15 bilion.

Prospek pertumbuhan ekonomi negara juga katanya cerah dengan unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus pada 2022.

Paling ketara dalam dua tahun kebelakangan ini katanya, negara telah menyaksikan peningkatan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana dalam DDI.

“Bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pemain industri tempatan, Platform Penyelarasan Pelaburan Domestiknya (DICP) telah diperkenalkan untuk merapatkan jurang kewangan dan teknologi dengan mewujudkan kerjasama strategik dan usaha sama antara institusi kewangan, firma ekuiti dan penyedia teknologi.

“Melangkah ke hadapan, langkah strategik untuk mengukuhkan pelaburan domestik di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe12) dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) termasuk memperhebatkan sokongan pemerolehan teknologi untuk syarikat tempatan serta meningkatkan syarikat tempatan untuk mencapai piawaian antarabangsa,” katanya.

Mengulas mengenai isu kekurangan pekerja yang mampu merencatkan pembangunan DDI dan FDI di negara ini, Mohamed Azmin berkata kerajaan akan menangani isu ini diseluruh peringkat agar DDI terus kekal kukuh dan menjadi penyumbang utama ekonomi negara.

“Di peringkat struktur, terdapat keperluan asas untuk sistem pendidikan kita melahirkan bakat yang diperlukan serta boleh dimanfaatkan oleh industri.

“Tidak ada bantahan bahawa membangunkan bakat Malaysia harus kekal sebagai kunci keutamaan yang akan meningkatkan pembangunan kapasiti.

“Ini terutamanya dalam meningkatkan kumpulan bakat yang terdiri daripada pekerja mahir dan berteknologi tinggi.

“Tambahan pula, penyediaan bakat tempatan juga memberi sumbangan positif ke arah memperkukuh rantaian bekalan,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini