Pasaran pekerjaan semakin pulih

Facebook
Twitter
WhatsApp

PUTRAJAYA: Tenaga buruh Malaysia pulih secara beransur-ansur pada 2021 dengan kedudukan lebih baik dijangka pada tahun ini, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata jangkaan itu bersandarkan kepada pendekatan yang lebih bersasar diambil untuk menguruskan situasi kesihatan awam terutama pada separuh kedua 2021 berbanding sekatan menyeluruh yang dilaksanakan pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, di samping pelbagai inisiatif oleh kerajaan, pembukaan semula aktiviti ekonomi secara berterusan dengan waktu perniagaan yang lebih panjang serta kebenaran kepada aktiviti sosial dan perjalanan rentas negeri telah menyumbang dengan ketara dalam merangsang prestasi ekonomi Malaysia.

Katanya, pasaran buruh negara sedang menuju ke arah pemulihan dengan peningkatan yang berterusan sejak Januari 2022. Situasi ini disebabkan oleh pelonggaran sekatan sosioekonomi berikutan negara telah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Fasa peralihan ke endemik yang berkuat kuasa mulai 1 April 2022 telah membuka lebih banyak peluang di mana perniagaan dibenarkan beroperasi seperti mana pada waktu sebelum pandemik manakala sempadan antarabangsa kembali dibuka.

“Bertepatan dengan persediaan menyambut bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri dijangka akan mendorong lebih banyak permintaan terhadap barang dan perkhidmatan. Perkembangan positif ini akan dapat menyumbang kepada pengambilan lebih ramai pekerja, pewujudan jawatan baharu dan seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

“Justeru, pasaran buruh Malaysia dijangka dapat mempercepatkan momentum pemulihannya dalam masa terdekat berikutan prestasi ekonomi dilihat terus bertambah baik,” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Tahunan Malaysia 2021.

Mengulas lebih lanjut mengenai pencapaian tahun lalu, Mohd Uzir berkata, tenaga buruh Malaysia yang terdiri daripada penduduk bekerja dan penganggur, meningkat sebanyak 0.8 peratus (129,400 orang) kepada 15.8 juta orang.

Katanya, perkembangan positif itu disebabkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja dan penganggur pada tahun dikaji.

“Pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial telah menggalakkan kumpulan yang tidak aktif untuk memasuki tenaga buruh sama ada untuk bekerja atau mencari pekerjaan.

“Justeru, tenaga buruh Malaysia kembali memperoleh momentum ke arah pemulihan pada 2021 yang dicerminkan oleh kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi pada tahun berkenaan.

“Ini ditunjukkan oleh penurunan marginal dalam bilangan luar tenaga buruh sebanyak 0.1 peratus (4,100 orang) kepada 7.2 juta orang, sementara KPTB meningkat sebanyak 0.2 mata peratus kepada 68.6 peratus,” katanya.

Beliau menjelaskan, jumlah penduduk bekerja merekodkan 15.1 juta orang pada 2021, meningkat sebanyak 0.7 peratus (107,400 orang) berbanding tahun sebelumnya.

“Kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga yang ditunjukkan oleh nisbah guna tenaga kepada penduduk bertambah sebanyak 0.1 mata peratus tahun ke tahun mencatatkan 65.4 peratus (2020: 65.3 peratus). Dari segi taraf pekerjaan, kategori pekerja merangkumi komposisi terbesar penduduk bekerja iaitu sebanyak 78.5 peratus pada 2021.

“Bilangan penduduk bekerja dalam kategori ini mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 2.3 peratus kepada 11.8 juta orang (2020: 11.6 juta orang). Manakala, kategori penduduk bekerja sendiri yang menyumbang sebanyak 14.8 peratus mencatatkan penurunan kepada 2.2 juta orang (-6.4 peratus).

Mohd Uzir berkata, berikutan pandemik yang masih berlarutan bagi tahun kedua pada 2021, banyak perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan mikro terjejas akibat pelbagai sekatan yang dilaksanakan di kawasan tertentu yang berisiko tinggi.

“Ini sebahagiannya boleh dikaitkan dengan penurunan dalam penduduk bekerja sendiri yang kebanyakannya terbabit dalam perniagaan kecil-kecilan serta usahawan tidak berdaftar dalam sektor informal,” katanya.

Mengulas mengenai situasi pengangguran pada 2021, beliau menjelaskan, kadar pengangguran pada tahun dikaji mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 4.6 peratus (2020: 4.5 peratus).

“Justeru, bilangan penganggur meningkat sebanyak 3.1 peratus (22,000 orang) kepada 733,000 orang (2020: 711,000 orang). Penganggur aktif yang mendominasi 75.7 peratus daripada jumlah penganggur, bertambah sebanyak 7.9 peratus (40,500 orang) kepada 554,700 orang (2020: 514,200 orang). Lebih separuh daripada kategori ini (56.4 peratus) menganggur kurang daripada tiga bulan,” katanya.

Melihat kepada pengangguran mengikut kumpulan umur terpilih pada 2021, Mohd Uzir berkata, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.7 mata peratus kepada 11.3 peratus (2020: 12.0 peratus) kepada 329,100 penganggur belia (2020: 314,000 orang).

“Sebaliknya, kadar pengangguran dewasa yang berumur 25 hingga 64 tahun meningkat 0.1 mata peratus kepada 3.1 peratus (2020: 3.0 peratus).

“Selaras dengan itu, bilangan penganggur dewasa meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada 408,400 orang (2020: 397,000 orang).

Melihat kepada kadar pengangguran mengikut negeri pada 2021, tiga negeri mencatatkan kadar pengangguran yang lebih tinggi daripada paras nasional iaitu Sabah (8.2 peratus), Labuan (7.4 peratus) dan Perak (5.3 peratus).

Sementara itu, Putrajaya (1.6 peratus), Melaka (2.0 peratus) dan Pahang (3.3 peratus), menjadi antara negeri yang mencatatkan kadar pengangguran terendah pada 2021.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini