STOCK SAHAM.CO

Pasaran modal berkembang kepada RM3.5 trilion pada 2021

KUALA LUMPUR: Saiz pasaran modal Malaysia berkembang kepada RM3.5 trilion tahun lalu, meningkat tiga peratus berbanding 2020 meskipun berdepan satu lagi tahun yang mencabar pada 2021.

Daripada jumlah itu, saiz pasaran ekuiti berada pada RM1.8 trilion, manakala bon dan sukuk pula berjumlah RM1.7 trilion.

Pada 2021, saiz pasaran modal Islam (ICM) Malaysia meningkat 2.3 peratus kepada RM2.3 trilion merangkumi RM1.2 trilion bagi saiz pasaran ekuiti, sementara baki RM1.1 trilion lagi membabitkan sukuk.

Pengerusi (SC), Datuk Syed Zaid Albar, berkata prestasi memberangsangkan itu disokong oleh infrastruktur kawal selia pasaran modal yang kukuh, ekosistem pasaran yang dipelbagai dan tahap permodalan peserta pasaran yang mantap.

“Pasaran modal domestik terus menyokong pemulihan ekonomi sebenar. Lebih penting lagi, pasaran modal terus memainkan peranan utamanya dalam membiayai ekonomi dan menjadi pengantaraan tabungan dengan peningkatan ketara dalam aktiviti pengumpulan dana dan pertumbuhan yang memberangsangkan bagi keseluruhan industri pengurusan dana,” katanya dalam Laporan tahunan 2021 SC.

Pada 2021, pasaran modal tempatan berjaya mengumpul dana RM130.9 bilion, meningkat 14.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Laporan Tahunan SC, pertumbuhan dalam pembiayaan alternatif pada 2021 berjumlah RM2.4 bilion merangkumi RM1.4 bilion daripada pembiayaan pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan platform pembiayaan rakan setara (P2P), dan RM1.1 bilion daripada modal teroka (VC)/ekuiti persendirian.

Tahun lalu, jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat 5.0 peratus kepada RM951.1 bilion.

Syed Zaid berkata, pada 2020, SC telah bekerjasama rapat dengan Bursa Malaysia dan pihak berkepentingan utama untuk membantu perniagaan pulih dan dibina semula berikutan kesan ekonomi COVID-19.

Katanya, pelbagai pelepasan kawal selia kepada pasaran dan syarikat tersenarai telah dilanjutkan ketika SC menyelaraskan keutamaan strategiknya bagi memastikan pasaran modal kekal adil dan teratur dan risiko yang muncul dipantau secara berkesan.

“Kami terus mempergiat inisiatif pembangunan terutamanya dalam meningkatkan agenda kemampanan, memperkembang ICM dan menggalakkan inovasi.

“SC juga mengeluarkan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) pada separuh kedua tahun berkenaan. Ini akan menetapkan nada dan hala tuju bagi inisiatif pembangunan dan pengawalseliaan untuk jangka sederhana.

“Saya yakin bahawa CMP3 akan melahirkan satu ekosistem pasaran yang relevan, cekap, dipelbagai dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata, SC terus memperluas akses untuk tawaran awam awal (IPO) di mana Bursa Malaysia diberi kuasa sebagai pusat sehenti bagi penyenaraian Pasaran ACE berkuat kuasa 1 Januari 2022 dan semakan terhadap rangka kerja syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC).

Katanya, sebagai tindak balas kepada minat pelabur yang semakin meningkat terhadap produk alternatif dan

pelbagai, SC meluaskan kategori pelabur sofistikated untuk menambah senarai pelaburan yang dibenarkan untuk industri unit amanah bernilai RM526.9 bilion.

“Aset digital terus menarik minat pelabur individu, dengan nilai dagangan keseluruhan hampir RM21 bilion. Bitcoin Cash menjadi tambahan terkini kepada rangkaian aset digital yang dibenarkan.

“SC juga meluluskan platform dan pengantara pasaran digital baharu untuk mengembangkan saluran pengedaran dan penawaran produk.

“Disamping itu, program Pecutan Fintech Islam FIKRA (FIKRA) telah dilancarkan untuk meningkatkan penyelesaian inovatif bagi ICM Malaysia yang bernilai RM2.3 trilion.

Menuju ke hadapan, Syed Zaid berkata, prospek tahun ini yang lebih baik untuk pasaran modal Malaysia adalah berdasarkan pemulihan ekonomi domestik yang berkekalan.

Katanya, pelaksanaan inisiatif CMP3 turut memberikan rangsangan selanjutnya kepada aktiviti pasaran, namun SC akan terus berwaspada dalam mengharungi tahun mendatang kerana masih ada beberapa cabaran yang berpotensi memburukkan lagi ketidaktentuan pasaran dan menjejaskan sentimen.

“Teknologi akan terus menjadi pemacu utama untuk pertumbuhan dan pembangunan pasaran. Di peringkat dalaman, hala tuju teknologi SC akan mempercepat penggunaan keupayaan pembelajaran mesin dan teknologi penyeliaan (SupTech) untuk meningkatkan keberkesanan fungsi kawal selia kami.

“Bagaimanapun, ketika alatan dalam talian dan penyelesaian teknologi kawal selia (Regtech) diterima oleh industri, adalah penting untuk memperakui risiko penggunaan teknologi dan ancaman siber.

“Penerimaan SC terhadap rangka kerja tadbir urus risiko yang dipertingkatkan telah menambah keberkesanan pengawasan dan pemantauan kami terhadap potensi risiko sistemik,” katanya.

Beliau berkata, sumber juga akan diperluaskan tahun ini untuk memacu pelaksanaan Keutamaan Strategik CG 3-tahun SC.

Katanya, ia termasuk kerjasama rapat dengan kerajaan dan sektor swasta untuk memacu kepelbagaian dalam lembaga pengarah, mempertingkatkan penzahiran mengenai kemampanan dan meneruskan program kami dengan institusi pengajian tinggi untuk menerapkan amalan CG yang baik dalam kalangan belia.

“Saya percaya persekitaran CG akan diperkukuhkan dengan pelancaran pelbagai inisiatif tadbir urus korporat Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) untuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Pertimbangan ke atas kemampanan juga akan merangkumi spektrum luas aktiviti pasaran modal. SC akan melaksanakan beberapa inisiatif untuk menyokong industri dalam usaha mereka untuk mengguna pakai pertimbangan dan penzahiran berhubung kemampanan termasuk rangka kerja Taksonomi pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) dan nota panduan tentang risiko Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk pengurus dana.

“Dengan bermulanya pembinaan semula perniagaan dan pasaran modal, pencapaian sasaran pemulihan kita adalah bergantung kepada usaha kolektif, komitmen dan kerjasama semua,” katanya.

Sumber

Anda mungkin berminat

Terkini

Tag Popular