Optimum perbelanjaan bukan disebabkan Malaysia hadapi krisis

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Keputusan proaktif kerajaan untuk mengoptimumkan perbelanjaan bukan pakej jimat cermat yang lazimnya diperkenalkan negara yang berdepan krisis fiskal dan hutang.

Situasi itu juga amat berbeza dengan keadaan pernah dialami beberapa negara Eropah lebih sedekad lalu dan di Sri Lanka baru-baru ini, demikian menurut penganalisis.

Negara seperti Portugal, Sepanyol, Greece dan Itali pada 2008 melaksanakan jimat cermat berikutan kesukaran membuat pembayaran balik hutang susulan krisis kewangan global pada masa itu.

Situasi lebih buruk dihadapi Sri Lanka yang berdepan pelbagai faktor sehingga gagal membayar balik hutang berpunca daripada kehilangan pendapatan akibat pemotongan cukai, selain impak COVID-19.

Penganalisis secara umum berpendapat, kesan negatif pertumbuhan ekonomi susulan langkah mengoptimumkan itu adalah minimum, selagi tidak membabitkan pembatalan projek pembangunan yang mempunyai kesan limpahan besar serta berjangka sederhana dan panjang.

Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim, berkata kerajaan tidak akan membuat sebarang potongan perbelanjaan fiskal yang drastik dan mendadak kerana ia mampu menjejaskan kestabilan ekonomi negara.

Tambahan pula, beliau berkata, sokongan daripada kerajaan juga masih diperlukan kerana ada lagi rakyat serta usahawan yang menghadapi kesukaran untuk bangkit walaupun ekonomi negara sedang memulih daripada kesan pandemik.

Katanya, dalam suasana inflasi global sekarang, intervensi fiskal juga amat penting bagi mengurangkan tekanan dalam negara dan kesan negatifnya terhadap kuasa membeli pengguna serta aktiviti perbelanjaan domestik.

Beliau menegaskan, inflasi yang melonjak ke paras lebih tinggi akan memberi kesan buruk kepada kestabilan ekonomi negara yang masih dalam proses pemulihan daripada kesan pandemik sebelum ini.

“Arahan bagi mengoptimumkan perbelanjaan fiskal adalah satu langkah proaktif memandangkan tekanan terhadap kedudukan kewangan kerajaan semakin bertambah berikutan kerajaan sendiri mengunjurkan jumlah pemberian subsidi dijangka mencecah lebih RM77 bilion tahun ini.

“Walaupun perbelanjaan subsidi itu perlu diteruskan bagi menangani kenaikan kos sara hidup rakyat khususnya bagi barang makanan dan harga runcit bagi petrol dan diesel, namun jumlah yang bakal dibelanjakan itu jauh lebih besar daripada anggaran dalam Bajet 2022,” katanya.

Kementerian Kewangan pada 14 Julai 2022 lalu mengeluarkan Pekeliling Perbendaharaan 3.1 mengenai langkah penjimatan untuk dilaksanakan oleh semua kementerian dan agensi kerajaan bagi menampung sebahagian daripada keperluan subsidi tambahan.

Antara langkah pekeliling berkenaan adalah kawalan terhadap lawatan ke luar negara, barangan import serta penangguhan perbelanjaan yang belum komited.

Abdul Mui’zz berkata, pengurusan perbelanjaan fiskal yang baik dapat memastikan bantuan dapat terus disalurkan kepada mereka yang memerlukan, termasuk cadangan pemberian subsidi secara bersasar.

Beliau berkata, berikutan pekeliling yang dikeluarkan itu, semua kementerian dan agensi kerajaan akan meneliti semula rancangan perbelanjaan dan memastikan pembaziran dapat dielakkan.

“Kesannya, beberapa projek dan program kerajaan yang telah dirancang mungkin ditangguh buat masa ini. Namun, saya percaya sebarang program dan perbelanjaan akan diteruskan mengambil kira kesan langsung kepada kehidupan rakyat dan impak berganda kepada ekonomi negara.

“Contohnya, projek infrastruktur dan program berimpak tinggi terus dilaksanakan kerana nilai tambahnya lebih tinggi. Dalam kata lain, sebarang penangguhan projek sepatutnya tidak akan menjejaskan kemampanan pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara bagi jangka lebih panjang,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Mui’zz berkata, walaupun pendapatan kerajaan dijangka meningkat berikutan kenaikan harga minyak, sebarang bentuk penjimatan pasti akan memperkukuhkan lagi kemampuan fiskal kerajaan bagi membiayai dan meneruskan pemberian subsidi dan sokongan fiskal kepada ekonomi negara.

Dari segi kestabilan ekonomi jangka panjang pula, beliau berkata, kerajaan perlu berusaha memperkukuhkan semula kedudukan fiskal negara yang sebelum ini terjejas akibat COVID-19.

Katanya, komitmen bagi konsolidasi fiskal untuk jangka sederhana serta pengurusan hutang negara lebih berhemah perlu lebih ditekankan dari masa ke masa melihat kepada suasana ekonomi negara yang semakin bertambah baik.

“Negara juga perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kemelesetan ekonomi dan risiko luar jangka yang boleh berlaku pada masa akan datang.

“Ini bermakna, kemampuan dan fleksibiliti pfiskal negara perlu dipertingkatkan semula kerana kedudukan fiskal lebih kuat membenarkan kerajaan meningkatkan sokongan fiskal jika perlu,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini