STOCK SAHAM.CO

OPR dijangka kali pertama alami kenaikan keempat berturut-turut

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Jangkaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan sebanyak 25 mata asas lagi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum akhir tahun ini akan menjadi kenaikan keempat berturut-turut buat pertama kali sejak penanda aras kadar faedah pinjaman tempatan itu diperkenalkan pada 2004.

Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidik Kumpulan AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata OPR akan kembali normal pada 3.0 peratus, yang bermaksud satu lagi kenaikan mungkin berlaku pada Januari 2023.

“Sekiranya satu lagi kenaikan kadar berlaku, ia akan menjadi kenaikan kadar 25 mata asas keempat berturut-turut. Ini akan menjadi kali pertama kenaikan seperti itu berlaku sejak OPR bermula pada 2004,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Dass berkata, jangkaan kenaikan OPR pada mesyuarat kali terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi tahun ini pada 3 November 2022 didorong oleh perangkaan menunjukkan inflasi semakin meningkat disokong oleh situasi pasaran buruh yang mantap selain sentimen pengguna yang positif.

Beliau berkata, gaji sektor pembuatan sehingga Ogos 2022 telah melonjak 7.5 peratus tahun ke tahun, paras tertinggi sejak April 2021.

Tambahan pula katanya, kadar pengangguran telah menurun secara berterusan dengan angka terkini menunjukkan ia berada pada 3.7 peratus, turun daripada kemuncak pandemik iaitu sekitar 5.3 peratus.

“Jangkaan adalah untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2022 berprestasi lebih baik daripada KDNK suku kedua 2022 disokong oleh eksport yang kukuh.

“Kami mengunjurkan KDNK suku ketiga 2022 akan berlegar sekitar 10 peratus hingga 12 peratus, berbanding 8.9 peratus pada suku kedua 2022,” katanya.

Dass berkata, faktor berkenaan juga akan meningkatkan tekanan ke atas kos inflasi akibat daripada ringgit yang lebih lemah dan peningkatan Kadar Dana Persekutuan (FFR) kepada satu lagi kenaikan 25 mata asas oleh BNM pada mesyuarat MPC yang akan datang.

Kadar inflasi Malaysia pada September 2022 mencatatkan 4.5 peratus, lebih rendah sedikit berbanding 4.7 peratus pada Ogos 2022.

Bagi tempoh Januari hingga September 2022, kadar inflasi di negara ini adalah 3.3 peratus.

Sementara itu, Dass berkata bank pusat Amerika Syarikat (AS), RIzab Persekutuan dijangka menaikkan kadar faedah negara itu sebanyak 75 mata asas pada November kepada sasaran 3.75 hingga 4.0 peratus memandangkan ekonominya menunjukkan isyarat daya tahan.

“Ruang bagi satu lagi kenaikan sebanyak 75 mata asas pada Disember kekal, dengan kadar kenaikan lebih perlahan sebanyak 25 mata asas pada Januari 2023 dengan natarif ‘pertumbuhan mulai perlahan’ dijangka menjadi kenyataan.

“Ini akan menjadikan FFR berada pada antara 4.75 peratus hingga 5.0 peratus, lebih tinggi sedikit berbanding kadar terminal atau ‘neutral’ Fed,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini