STOCK SAHAM.CO

Operasi jana kuasa arang batu TNB tamat lebih awal

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan mempercepatkan usaha nyah karbon dengan meninjau untuk menamatkan operasi loji jana kuasa arang batu lebih awal dan memperkasakan loji jana kuasa dengan sumber bahan api bersih dan teknologi hijau.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baharin Din, berkata usaha peralihan penjanaan tenaga menggunakan sumber bahan api bersih itu akan dilaksanakan menerusi anak syarikatnya, TNB Power Generation Sdn Bhd (GenCo).

Beliau berkata, TNB kini meninjau untuk menamatkan lebih awal operasi loji jana kuasa arang batu, Kapar Energy Ventures (KEV), yang sepatutnya tamat pada 2029, kepada 2028.

Katanya, TNB juga telah menerima Surat Hasrat (LOI) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli baru-baru ini untuk menjanakan semula loji jana kuasa gas miliknya di Paka, Terengganu menggunakan sumber tenaga bersih iaitu hidrogen.

“Kami meninjau menamatkan (operasi) loji 1,400 megawatt (MW) KEV lebih awal daripada tamat tempoh Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA), tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan pihak berkuasa relevan. Penjanaan tenaga akan beralih kepada menggunakan sumber tenaga bersih seperti gas dan hidrogen.

“Penjanaan semula loji dengan teknologi baharu bagi loji jana kuasa gas 1,400 MW di Paka, Terengganu pula dijangka sedia hidrogen menjelang 2029,” katanya pada taklimat media mengenai usaha peralihan tenaga TNB di sini.

Mengulas lanjut, Baharin berkata, TNB menyasarkan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan bebas jana kuasa arang batu seawal 2040.

Beliau berkata, syarikat utiliti nasional itu juga secara aktif meninjau kerjasama strategik dengan rakan kongsi teknologi yang mampu menyediakan teknologi, keupayaan dan sinergi modal untuk mengukuhkan GenCo sebagai peserta penjana tenaga bersih, hijau serta lestari dalam sektor penjanaan tenaga tempatan dan serantau.

Katanya, usaha itu termasuk potensi kerjasama untuk pembangunan hidrogen selanjutnya sebagai sumber tenaga bersih yang berdaya maju.

“TNB komited untuk meningkatkan prestasi GenCo dalam Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk menjadi penjana tenaga hijau.

“Dengan permintaan terhadap tenaga bersih meningkat susulan peralihan tenaga, kami jangka nilai pasaran tenaga bersih menjadi kira-kira RM65 bilion hingga RM80 bilion dan menyasarkan untuk menguasai pasaran secara ketara iaitu sebanyak RM40 bilion menjelang 2050.

“Melalui langkah yang dilaksanakan untuk meningkatkan nilai dan kedudukan kemampanan (GenCo), kami terbuka terhadap kemungkinan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) GenCo, sekiranya ada peluang,” katanya.

Baharin berkata, TNB juga akan terus melabur untuk pembangunan Grid Masa Depan sebagai pemacu kritikal peralihan tenaga negara.

Beliau berkata, dalam Tempoh Regulatori Ketiga (RP3), sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan untuk peralihan tenaga bagi mengimbangi keselamatan, kemampanan dan mampu milik grid.

“Melangkaui grid nasional, TNB juga menyokong kerjasama serantau untuk mengukuhkan sambungan grid antara rantau terutama rantau ASEAN ke arah keselamatan tenaga yang lebih besar,” katanya.

Selain itu, Baharin berkata, TNB akan terus mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam pasaran tempatan dan antarabangsa dengan menyasarkan kapasiti RE lebih 14 gigawatt (GW) menjelang 2050.

Beliau berkata, syarikat utiliti nasional itu juga meninjau memperluaskan portfolio RE di pasaran antarabangsa dengan kini sedang membida projek RE di Eropah seperti di Sepanyol, Perancis dan Ireland.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini