STOCK SAHAM.CO

Nota Komersial Islamik BDB raih penarafan MARC-2IS

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Bina Darulaman Bhd (BDB) menerima pengesahan penarafan MARC-2IS terhadap program Nota Komersial Islamik (ICP) bernilai RM100 juta bagi tempoh lima tahun dari Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC).

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli, berkata dalam tinjauan kedudukan terbaru yang dikeluarkan pada Ogos 2022, MARC menyatakan penarafan itu diberikan berdasarkan pemilikan tanah BDB yang sedia ada untuk pembangunan hartanah.

Beliau berkata, selain itu ia juga bagi memastikan kecairan yang mencukupi untuk memenuhi operasi jangka pendek dan komitmen kewangan, aliran keuntungan yang stabil daripada kontrak penyelenggaraan jalan dan peningkatan permintaan dalam sektor pembinaan.

“MARC sudah menyatakan bahawa status BDB selaku entiti milik kerajaan negeri Kedah, telah meletakkan kami dalam kedudukan yang baik untuk memperolehi kontrak pembinaan negeri, yang juga antara faktor utama BDB dipertimbangkan sebagai pilihan utama,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Iskandar berkata, kajian MARC mengesahkan strategi dan pelaksanaan pengurusan BDB dalam mewujudkan model perniagaan yang lancar untuk syarikat dan penjanaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

Beliau berkata, pelaksanaan dan penyampaian pelan pemulihan BDB yang dirangka untuk menangani keadaan operasi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 adalah sebab utama mengapa BDB telah muncul pada kedudukan kewangan dan operasi lebih kukuh pada 2022.

“Kunci kejayaan BDB adalah penstabilan perdapatan, pengoptimuman kos, kecekapan operasi yang telah dilipat-gandakan, pendigitalan dan pembangunan modal insan yang telah mewujudkan daya saing dan dinamisme yang semakin meningkat.

“BDB komited untuk terus mengimbangi semula dan mengoptimumkan operasi perniagaan dalam memastikan kesinambungan dan daya tahan syarikat,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Iskandar berkata, ketahanan, fokus tinggi dan keazaman kumpulan telah menunjukkan kemampuan yang boleh dicapai apabila dapat bangkit daripada pandemik sekaligus menjadi perniagaan yang lebih baik.

Beliau berkata, normalisasi terhadap rantaian bekalan dan penyambungan semula perniagaan, kepada operasi seperti sedia kala dapat mengatasi permintaan yang meningkat untuk setiap produk dan perkhidmatan.

Perniagaan teras BDB katanya iaitu pembangunan hartanah dan kejuruteraan, pembinaan dan kuari (ECQ) turut berada di kedudukan yang baik untuk memaksimumkan peluang perniagaan dalam kondisi perniagaan yang semakin baik.

“Divisyen hartanah BDB akan memberi tumpuan untuk membuka potensi nilai pemilikan tanah dengan membangunkan perbandaran sedia ada, dan membina perbandaran perumahan mampu milik yang baru bersama rakan kongsi kami.

“Pada masa yang sama, ECQ akan terus mengukuhkan aliran pendapatannya yang stabil daripada projek penyelenggaraan jalan negeri yang sedang berlangsung, dan meningkatkan permintaan untuk operasi kuarinya.

“Melihat kepada tahun 2023, BDB menyasarkan untuk mendapatkan kontrak dan peluang perniagaan baharu di luar Kedah untuk meningkatkan profilnya,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini