NCIA tarik pelaburan RM17.25 bilion sejak Januari

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM17.25 bilion sejak Januari sehingga 31 Julai lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaburan itu akan menghasilkan 12,315 peluang pekerjaan baharu.

Beliau berkata, pelaburan itu disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mekanikal dan elektrikal (M&E) dan Peranti Perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Perkembangan positif ini termasuk pelaburan asing oleh Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara.

“Ia sekali gus membuktikan keyakinan pelabur swasta terhadap ekonomi dan ekosistem pembangunan bakat di wilayah ini,” katanya dalam kenyataan selepasmempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis NCIA Kali Ke-29.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Sains, Teknologi & Inovasi dan Pengajian Tinggi Negeri Kedah, Datuk Wira Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Ismail Sabri berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan turut memastikan bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi tersedia dalam usaha untuk meyakinkan lebih ramai pelabur ke kawasan NCER.

“NCIA bersama-sama Kerajaan Negeri memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi meningkatkan daya saing NCER dalam menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, NCIA sedang merangka pelbagai usaha inklusif termasuk penubuhan tabung Dana Pembangunan Modal Insan NCER, sejajar seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam program sosioekonomi strategik.

“Tabung ini bagi merangsang penyertaan sektor swasta dalam program pembangunan modal insan mampan dan usahawan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu mesyuarat turut bersetuju supaya program bantuan kos sara hidup menggunakan kad tanpa tunai serta pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

“Pelaksanaannya akan diperincikan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan NCIA untuk menganjurkan persidangan Pihak Berkuasa Koridor Wilayah untuk membincangkan dan menghuraikan amalan terbaik serta pencapaian,” katanya menambah peranan semua koridor ekonomi amat penting bagi membangun dan meningkatkan daya tahan ekonomi Keluarga Malaysia.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini