KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500.
Presidennya, Datuk Low Kian Chuan, berkata ia perlu ditangguhkan sehingga sesi libat urus yang menyeluruh bersama pihak yang berkepentingan diadakan.
Beliau berkata, komuniti perniagaan terkejut dengan pengumuman kenaikan kadar gaji minimum semasa yang mendadak daripada RM1,100 hingga RM1,200 kepada RM1,500 sebulan.
Ini, katanya adalah peningkatan secara drastik di antara 25 hingga 36 peratus.
“Sementara menunggu butiran lebih lanjut dari kerajaan, pengumuman itu telah menimbulkan sentimen negatif dan kegelisahan dalam kalangan industri dan majikan.
“Ini kerana, tempoh masa yang diperuntukan untuk persediaan terlalu singkat. Sebelum ini, libat urus dan tempoh masa yang mencukupi diberikan untuk pelaksanaan gaji minimum yang baharu,” katanya.
Kian Chuan berkata, NCCIM juga ingin mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci mengenai penetapan mekanisme gaji minimum baharu.
Beliau berkata, ia terutama mengenai apakah pengecualian yang disebut dan juga untuk mencapai satu kadar gaji minimum yang sesuai dalam mengimbangi antara kebajikan golongan pekerja dan impak kos kepada majikan sebelum pelaksanaan.
“Kenaikan gaji minimum ketika komuniti peniagaan sedang menghadapi pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos perniagaan yang mendadak, kekurangan tenaga pekerja dan sikap pengguna yang masih berhati-hati dalam perbelanjaan sangat membimbangkan majikan.
“Tambahan pula, kos buruh akan membebankan peniaga sehingga mereka terpaksa menaikkan harga barangan (inflasi pengguna) dan juga mengurangkan peluang pekerjaan untuk mengekalkan margin perniagaan.
“Selain daripada itu, kesan pindahan gaji minimum yang dicadangkan ke atas kategori pekerja lain akan meningkatkan kos pekerjaan dan operasi,” katanya.