STOCK SAHAM.CO

Matlamat utama subsidi bersasar bantu golongan rentan

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Rancangan kerajaan melaksanakan pendekatan subsidi bersasar adalah bertujuan untuk memastikan kumpulan sasaran, iaitu golongan yang memerlukan akan mendapatkan bantuan sewajarnya.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah, berkata program bantuan tunai dan subsidi bahan api akan ditambah baik menerusi mekanisme pengagihan yang lebih berkesan, iaitu dengan beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi lebih bersasar.

“Ini akan memastikan bahawa golongan memerlukan yang disasarkan tidak akan dinafikan hak mereka,” katanya menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2022 di Kuala Lumpur.

Pelaksanaan subsidi bersasar adalah sebahagian daripada tindakan strategik yang sedang dipertimbangkan kerajaan untuk mempercepatkan transformasi struktur di negara ini.

Mohd Shahar berkata, dengan pelaksanaan subsidi bersasar, kerajaan boleh menyediakan keselamatan sosial yang optimum kepada golongan rentan.

“Apabila keperluan golongan ini dipenuhi oleh kerajaan, maka daya tahan dalam kalangan mereka terhadap cabaran ekonomi, sosial, politik dan persekitaran akan dapat diperkukuhkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan perlu lebih bersedia dari segi mekanisme untuk merancang, melaksana, mengurus dan memantau semua perancangan, pembangunan serta dasar bagi mempersiapkan negara menuju ke hadapan.

Paling utama, kerajaan katanya menyedari bahawa pembaharuan berstruktur diperlukan untuk menangani isu pendapatan dan kos sara hidup dalam kalangan isi rumah bagi berdepan kejutan akan datang, seperti COVID-19.

“Disebabkan COVID-19, isi rumah di Malaysia berdepan kedudukan kewangan yang rapuh; sebahagian kehilangan pekerjaan mereka, sebahagian langsung tiada pendapatan, ada yang terpaksa menggandakan perbelanjaan untuk pendidikan kerana anak-anak perlu belajar secara maya.

“Kerajaan sedar bahawa negara memerlukan pembaharuan dengan mempunyai sistem perlindungan sosial lebih mantap yang lebih berkesan dari segi kos serta bersepadu bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat semasa fasa endemik dan seterusnya,” katanya.

Kerajaan juga, katanya sedar bahawa negara perlu mempunyai satu sistem dasar dan program yang disasar untuk menjamin perlindungan golongan memerlukan.

Beliau menjelaskan, sistem sedemikian sepatutnya tangkas menangani perubahan dinamik dan mampan secara fiskal.

“Dasar dan program kerajaan seperti itu akan menjamin bahawa golongan memerlukan mendapat sokongan secukupnya dan dilindungi,” katanya.

Mohd Shahar berkata, dalam masa sama kerajaan turut menyedari keperluan untuk meningkatkan pertumbuhan produktiviti.

“Kita telah berkembang dengan agak baik berbanding negara jiran, namun dari segi produktiviti, kita tertinggal di belakang,” katanya.

Beliau menambah, terdapat juga perbezaan ketara dari segi tahap produktiviti dalam kalangan firma di negara ini.

Katanya, anggaran pra-pandemik daripada Bank Dunia menunjukkan bahawa syarikat lebih kecil secara umumnya ketinggalan jauh berbanding syarikat lebih besar.

“Selain itu, firma yang berada di kedudukan 25 peratus teratas dari segi sumbangan produktiviti adalah 12 kali lebih produktif berbanding firma yang berada di kedudukan 25 peratus terbawah,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini