STOCK SAHAM.CO

Malaysia sukar pulih tanpa kestabilan politik

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Ketidakstabilan politik yang menyebabkan pelaksanaan dasar sering berubah dan tidak konsisten akan menyukarkan usaha Malaysia untuk memulihkan ekonomi.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Makro), Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk K Yogeesvaran, berkata kestabilan politik adalah amat penting kerana ia menjamin dasar yang bersepadu dan konsisten.

“Ini adalah isu besar yang perlu diberi perhatian. Jika kita tiada kestabilan politik, kita akan gagal mencapai pemulihan. Kestabilan politik mempunyai kaitan dengan kesepaduan dan konsistensi.

“Jika dasar sentiasa berubah setiap hari atau setiap minggu, kita tidak akan mengalami pemulihan. Jadi, kestabilan politik adalah amat penting, justeru dasar yang konsisten dan bersepadu adalah lebih penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2022 bertemakan ‘Mempercepatkan Transformasi Struktur, Memacu Pertumbuhan Ekonomi’ di sini.

Panelis lain termasuk Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dan Pengarah Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP), Manokaran Mottain.

Sesi itu dikendalikan oleh Felo Kanan, Singapore Institute of International Affairs and Principal Adviser di Pacific Research Center of Malaysia, Dr Oh Ei Sun.

Yogeesvaran berkata, isu lain yang seharusnya menjadi perhatian ialah kepentingan untuk kerajaan mempunyai visi jangka panjang untuk merangka sesuatu dasar.

Selain itu, katanya, panelis membangkitkan isu penstrukturan yang masih banyak belum diselesaikan termasuk buruh asing, infrastruktur, kerangka kerja tadbir selia, sistem percukaian dan lain-lain.

“Kita akan berhadapan masalah besar jika isu-isu ini tidak ditangani dengan betul. Ia adalah isu sebenar yang sedang melanda negara kita dan perlu ditangani sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmed Razman mencadangkan pengenalan mata wang alternatif dalam kalangan komuniti bagi mengatasi masalah tempatan seperti kekurangan tunai.

“Mereka mempunyai barangan atau perkhidmatan untuk ditawarkan, tetapi tiada wang untuk membelinya. Maka, di sini kita boleh cuba perkenalkan mata wang komuniti.

“Perkara ini masih belum pernah ada di Malaysia, ia seperti menggunakan mata ganjaran untuk menebus barangan. Idea ini boleh dipertimbangkan kerana di peringkat global, banyak negara memperkenalkan mata wang komuniti, untuk menangani isu-isu tempatan seperti kekurangan tunai,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini