STOCK SAHAM.CO

Malaysia sedia berkerjasama pastikan produk pertanian berkembang

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan pihak antarabangsa, termasuk agensi kerajaan, ahli akademik, institut penyelidikan, peserta industri dan perniagaan bagi memastikan industri komoditi pertanian terus berkembang secara progresif dan manpan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

“Melihat kepada kemapanan dan ekonomi sirkular, kami menyedari bahawa kami perlu bekerjasama dengan ramai pihak berkepentingan dan peserta teknologi yang berpotensi untuk memanfaatkan teknologi terkini bagi meneroka lebih lanjut potensi penuh pengeluaran komoditi pertanian.

“Terdapat keperluan untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik, teknologi yang canggih dan pelaburan yang besar ke dalam industri untuk memastikan kelebihan daya saing berbanding amalan tradisional,” katanya ketika berucap pada majlis Forum Perkongsian Malaysia-British di Kelab Caledonian, London baru-baru ini.

Zuraida berkata Malaysia telah berada di barisan hadapan mempromosikan minyak sawit dan biojisim sawit dalam sektor pembuatan.

Beliau berkata Strategi Biojisim Kebangsaan Malaysia 2020 (NBS2020) menetapkan sasaran untuk menjadikan biojisim sawit sebagai produk bernilai lebih tinggi yang akan menghasilkan pendapatan negara kasar (GNI) tambahan sebanyak £5.5 bilion (RM30 bilion) serta mewujudkan 66,000 pekerjaan dan pada masa yang sama menarik £4.6 bilion ( RM25 bilion) dalam pelaburan dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 12 peratus.

Kementerian telah mengintegrasikan ekonomi sirkular ke dalam pengeluaran komoditi pertanian, khususnya minyak sawit sebagai penyelesaian berkesan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber (bahan mentah) dan meminimumkan pembaziran daripada pengeluaran, pelepasan dan ketidakcekapan tenaga.

“Model ekonomi sirkular sudah pasti merupakan jalan ke hadapan untuk penyumberan mampan dan beretika komoditi pertanian Malaysia.

“Walaupun menghadapi cabaran untuk menggabungkannya ke dalam model linear semasa, tumpuannya adalah untuk mencipta lebih banyak nilai. Terdapat banyak nilai yang diperoleh daripada menggunakan semula dan mengitar semula bahan mentah ini,” tambahnya.

UK ialah rakan dagangan ke-19 terbesar Malaysia. Pada 2021, jumlah perdagangan barangan dan perkhidmatan untuk kedua-dua negara bernilai £5.2 bilion.

Eksport komoditi pertanian Malaysia (minyak sawit, getah, kayu, koko dan lada) menyumbang 14 peratus daripada jumlah perdagangan, bernilai £734 juta, meningkat 17 peratus daripada £628 juta pada 2020.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini