STOCK SAHAM.CO

Malaysia sedia berdepan kemelesetan global

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Malaysia sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk kemelesetan global, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, mana-mana kerajaan di dunia perlu bersedia dengan kemungkinan sedemikian, malah Malaysia sebelum ini telah melalui kemelesetan global.

Namun, katanya, kerajaan masih berkeyakinan bahawa negara akan terus mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini dengan perangkaan awal bagi suku kedua tahun ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan momentum berkenaan dijangka berterusan ke suku ketiga.

Jelasnya, perangkaan juga menunjukkan Malaysia berada dalam landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 5.3 hingga 6.3 peratus tahun ini.

“Kita telah mengambil kira kelembapan dalam ekonomi Amerika Syarikat (AS). Sebelum ini, sasaran kita ialah 5.5 ke 6.5 peratus. Namun begitu, keadaan adalah tidak menentu dan sebagai negara berdagang dan ekonomi terbuka kecil, kita perlu memantau pertumbuhan global.

“Kita akan memantau secara rapat, namun berdasarkan perangkaan yang kita ada, unjuran masih kekal kerana ekonomi Malaysia pelbagai. Bagaimanapun, saya akui ada angka yang tidak sekata dalam sektor berbeza dan ada sektor tertentu menunjukkan pertumbuhan sangat kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran platform i-Lindung oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini.

Hadir sama, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Tengku Zafrul berkata, ruang fiskal negara ketika ini adalah lebih baik berbanding tahun lalu sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara yang berada dalam landasan kukuh untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 5.3 hingga 6.3 peratus.

Beliau berkata, harga komoditi yang lebih baik telah membantu kedudukan fiskal negara dan kerajaan masih kekal dengan sasaran defisit fiskal 6.0 peratus bagi tahun ini bersandarkan kepada sasaran pertumbuhan ekonomi 5.3 peratus hingga 6.3 peratus.

Katanya, ruang fiskal masih ada dan kerajaan meninjau cara untuk menjimatkan wang bagi memastikan wang disalurkan kepada kumpulan yang betul.

Beliau menambah, kerajaan telah meningkatkan bantuan tunai dan ia adalah jumlah terbesar iaitu sebanyak RM8 bilion begitu juga dengan subsidi lain.

“Kedudukan fiskal kita bergantung kepada pertumbuhan ekonomi. Seperti yang saya maklumkan sebelum ini selain turut disahkan oleh agensi antarabangsa lain seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia bahawa kita berada dalam landasan untuk mencapai 5.3 peratus hingga 6.3 peratus (tahun ini).

“Justeru, ruang fiskal kita lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan sentiasa berhati-hati dengan perkembangan di peringkat global dan berwaspada dengan kesan kepada Malaysia.

Beliau berkata, sebagai ekonomi yang kecil dan negara berdagang, Malaysia sudah pasti akan terkesan oleh inflasi di peringkat global yang meningkatkan harga.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini