STOCK SAHAM.CO

Malaysia kekal pasaran strategik SAP

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal sebagai pasaran strategik bagi SAP, yang meraikan ulang tahun ke-30 operasinya di negara ini ketika ia terus menyokong perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengguna pakai ekonomi digital, kata Presiden dan Pengarah Urusan SAP Asia Tenggara, Verena Siow.

SAP yang beribu pejabat di Jerman, adalah satu daripada pengeluar utama dunia perisian bagi pengurusan proses perniagaan, membangunkan penyelesaian yang membantu memudahkan pemprosesan data dan aliran maklumat yang lebih efektif dalam organsasi.

“SAP meraikan ulang tahun ke-50 (di peringkat global) dan ke-30 di Malaysia. Jadi, kami telah berada di Malaysia sudah agak lama dan kami melihat Malaysia sebagai pasaran strategik dan sebagai sebahagian daripada Asia Tenggara. Jadi, untuk memastikan Asia Tenggara terus makmur dan berkembang, Malaysia adalah sebahagian penting daripadanya,” katanya.

Untuk rekod, SAP mempunyai kira-kira 1,500 pelanggan di Malaysia, yang mana 29 peratus daripadanya tersenarai di Bursa Malaysia. Kira-kira 79 peratus adalah PKS.

SAP terbabit dalam lima industri utama di Malaysia iaitu tenaga dan sumber manusia, perkhidmatan, pengguna, pembuatan diskret dan sektor awam.

Pada masa ini terdapat kira-kira 2,000 perunding SAP yang diperakui dalam pasaran, katanya.

Dengan ekonomi digital diunjur berkembang pesat pada masa hadapan, SAP berhasrat untuk terus kekal di Malaysia.

Siow berkata, menurut data Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun ini dan mencipta lebih 500,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.

Ekonomi digital ASEAN diunjur mencecah AS$1 trilion menjelang 2030.

Pandemik, terutamanya telah mempercepat kemajuan pendigitalan dan untuk terus berkembang maju dalam persekitaran ‘yang tidak boleh kembali seperti biasa’, perusahaan dan kerajaan perlu melakukan transformasi untuk menjadi lebih pintar dan mampan.

“Sebagai peneraju teknologi global, kami komited kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia seperti apa yang kami lakukan sejak tiga dekad lepas. Kami bekerjasama dengan pelanggan kami di Malaysia untuk membantu mereka mengguna pakai teknologi canggih utama agar mereka menjadi lebih produktif dan cekap,” katanya.

Bagi tujuan ini, SAP telah bekerjasama dan akan terus bekerjasama dengan banyak kerajaan serta perusahaan bagi menyokong transformasi bukan hanya dalam pendigitalan tetapi juga merebut peluang baharu dengan cekap.

“Ini juga membabitkan latihan dan latihan semula tenaga kerja bagi merebut peluang dalam ekonomi digital pada masa hadapan, ” kata Siow sambil menambah SAP menjalin kejasama rapat dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan universiti tempatan.

Beliau berkata, sebanyak sembilan institusi pengajian tinggi adalah anggota SAP University Alliances Program yang termasuk Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Malaya, Universiti Kuala Lumpur, dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman.

“Sejumlah 21,000 pelajar memperoleh manfaat sejak 2012 dengan 3,000 penuntut dilatih bagi kemahiran digital dan kemahiran SAP setiap tahun memandangkan sentiasa ada permintaan tinggi terhadap kemahiran dan perunding SAP.

“Justeru, SAP giat mengekalkan momentum dalam ekosistem,” katanya.

“Menariknya di Malaysia, permintaan terhadap kemahiran SAP bukan hanya datang dari dalam Malaysia dalam kalangan pelanggan dan perusahaan Malaysia sahaja tetapi juga bagi rantau ini. Ramai pelanggan di rantau ini yang menggunakan Malaysia sebagai pusat penghantaran, yang mana ia bagus bagi ekonomi negara,” katanya.

“Walaupun SAP terkenal dengan pelanggan daripada syarikat besar, terutamanya yang tersenarai di Bursa, hakikatnya, di seluruh Asia Tenggara dan Malaysia, 80 peratus daripada pelanggan kami adalah PKS,” kata Siow.

Sejak dua tahun lalu, permintaan terhadap penyelesaian SAP daripada PKS meningkat dengan pesat dan ia merupakan segmen SAP yang berkembang paling pantas.

“Kami mempunyai banyak pelanggan PKS baharu kerana mereka juga perlu menyokong operasi dari jarak jauh,” katanya.

Sejak 2021, SAP menerima permintaan tinggi daripada PKS bagi penyelesaian awannya, kedua-duanya daripada pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu. Malahan, PKS membentuk 90 peratus daripada jumlah pelanggan SAP di ASEAN.

PKS adalah tunjang ekonomi ASEAN. Ia menyumbang 90 peratus daripada perniagaan dan lebih 50 peratus daripada jumlah pekerjaan di ASEAN, serta 41 peratus daripada KDNK serantau.

“Secara kebetulan ‘RISE with SAP’ adalah penawaran awan terbaharu kami, dan saya ingin berkongsi berita gembira bahawa syarikat seperti Johor Corp dan Malaysia Airlines telah menggunakan RISE with SAP bagi memastikan operasi yang mampan dan pintar untuk mencapai pertumbuhan,” katanya.

Menurutnya, SAP berharap dapat memperkasakan pendigitalan dan transformasi PKS di Malaysia untuk menyokong pelan pertumbuhan dan pengembangan mereka, yang mana juga dapat mengukuhkan ekonomi di rantau ini.

Siow berkata, bukan hanya syarikat besar yang mencari penyelesaian yang membolehkan mereka mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) tetapi juga PKS, terutamanya yang merancang untuk berkembang serta melaksanakan tawaran awam permulaan mereka.

“Berlaku peningkatan sejak tahun lepas dari segi pelanggan yang mencari penyelesaian untuk menyokong matlamat dan pematuhan ESG mereka, sama ada syarikat besar mahupun PKS,” katanya.

Antaranya, perisian perancangan sumber enterpris (ERP) SAP memiliki semua data yang diperlukan bagi pematuhan ESG dan syarikat hanya perlu mengambilnya untuk tujuan pelaporan.

“Dalam pada itu, SAP juga terus berusaha mencari jalan untuk menginovasikan lagi penyelesaiannya,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini