STOCK SAHAM.CO

Malaysia gesa penetapan semula keutamaan WTO

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menggesa penetapan semula keutamaan untuk memastikan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) memainkan peranan yang lebih efektif dalam mewujudkan aliran perdagangan yang lebih lancar dan bebas pada Persidangan Peringkat Menteri WTO ke-12 (MC12) di Geneva.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin Ali berkata walaupun Malaysia menantikan maklum balas WTO terhadap pelbagai isu dalam pelbagai agenda, cabaran yang dihadapi oleh sistem perdagangan pelbagai hala tetap menjadi perkara yang paling utama.

Kenyataan beliau ini dipetik daripada akaun Twitternya menjelang mesyuarat rasmi Menteri Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) bersama 13 negara rakan kongsi lain sebelum menghadiri WTO MC12 di Paris, Perancis, persidangan pertama dalam tempoh empat tahun.

“Bagi IPEF, perbincangan akan tertumpu kepada tonggak yang mana perdagangan akan diketengahkan dengan ketara,” kata Mohamed Azmin, sambil menambah mesyuarat IPEF kali ini akan dipengerusikan oleh Duta Besar Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat, Katherine Tai.

Malaysia percaya bahawa sudah tiba masanya untuk memulakan paradigma baharu abad ke-21 bagi memastikan pertumbuhan yang lebih cepat dan adil untuk ekonomi di rantau ini disamping memupuk keterangkuman dan kemakmuran bersama, katanya.

Beliau juga menyatakan antara lain, bahawa penggubalan semula peraturan baharu itu akan membolehkan rakan kongsi rangka kerja meneroka peluang serta kemungkinan baharu dalam meningkatkan daya saing, daya tahan ekonomi dan kemakmuran serantau selain memudahkan pertumbuhan yang rancak dan mampan.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini