Malaysia bakal kuasai pasaran sawit India

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR/MUMBAI: Dasar eksport minyak sawit Indonesia yang tidak menentu mungkin membantu Malaysia muncul sebagai pembekal utama kepada India, pembeli utama dunia bagi minyak masakan, kata sumber industri.

Indonesia adalah pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, tetapi dasar eksportnya yang tidak menentu, termasuk larangan terbaharu diumumkan pada 22 April lalu mendorong pengguna India untuk meningkatkan pergantungan mereka kepada Malaysia, pengeluar kedua terbesar di dunia yang mengeluarkan kurang separuh daripada pesaingnya.

Malaysia sedang memperkukuhkan kedudukan untuk mengambil kesempatan daripada larangan Indonesia dengan mengurangkan separuh cukai eksport minyak sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Gabungan cukai eksport yang lebih rendah dan larangan Indonesia bermakna, bahagian eksport minyak sawit Indonesia ke India akan jatuh kepada 35 peratus pada tahun pemasaran semasa yang berakhir pada 31 Oktober, berbanding lebih 75 peratus sedekad lalu, menurut anggaran daripada Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA), sebuah badan perdagangan minyak sayuran.

“Malaysia adalah penerima manfaat terbesar daripada dasar Indonesia yang tidak dapat diramalkan,” kata Pengarah Eksekutif Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) yang berpangkalan di Mumbai, B.V. Mehta.

SEA adalah sebuah badan perdagangan minyak sayuran.

“Memandangkan Indonesia tiada dalam pasaran, Malaysia menjual lebih banyak dan pada harga yang hampir mencatat rekod tinggi.”

Dalam lima bulan pertama tahun pemasaran 2021/22, India membeli 1.47 juta tan minyak sawit Malaysia berbanding 982,123 dari Indonesia, berdasarkan data yang dikumpulkan oleh SEA.

Bagi Mei, peniaga menganggarkan India mengimport sekitar 570,000 tan minyak sawit, dengan 290,000 dari Malaysia dan 240,000 dari Indonesia.

Jika larangan eksport Indonesia kekal selama dua minggu lagi, maka import minyak sawit India pada Jun boleh susut kepada 350,000 tan, kebanyakannya dari Malaysia.

Perubahan pantas import minyak sawit India akan menjejaskan secara ketara corak penguasaan Indonesia yang kukuh di seluruh Asia Selatan.

Bagaimanapun, syarikat penapis minyak India merasakan mereka perlu melindungi rantaian bekalan daripada perubahan dasar selepas campur tangan Indonesia dalam pasaran minyak sawit sejak 2021.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini