Malaysia Airlines komited pastikan khidmat pelanggan cemerlang

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd telah memberikan komitmen untuk memastikan penyampaian perkhidmatan pelanggan yang optimum di tengah-tengah lonjakan pertanyaan pelanggan yang memberi kesan kepada masa menunggu pelanggan untuk pusat hubungan.

Sebagai sebahagian daripada komitmennya dalam menangani pertanyaan pelanggan menurut ketepatan masa dan cekap, syarikat penerbangan nasional itu akan mengecualikan yuran tempahan luar talian untuk pelanggan yang mengalami masa menunggu lebih daripada 10 minit, berkuat kuasa serta-merta.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan menjelaskan dengan kadar pemberhentian yang tinggi dan peningkatan jumlah penumpang, ia terdedah kepada cabaran dalam menangani lonjakan pertanyaan pelanggan yang diterimanya dengan jumlah kakitangan yang masih ada, fenomena yang dialami oleh semua syarikat penerbangan di seluruh dunia.

“Kami telah meningkatkan jumlah kakitangan di perkhidmatan pelanggan pusat hubungan sebanyak lebih daripada dua kali ganda sejak Februari 2022 dan terus melakukan yang terbaik bagi mengukuhkan jumlah kakitangan untuk menangani pertambahan angka panggilan yang diterima.

“Walaupun terdapat peningkatan, Malaysia Airlines telah mencatatkan lonjakan berterusan dalam menguruskan pertanyaan pelanggan, mengurangkan purata masa menunggu kepada di bawah 20 minit untuk menangani pertanyaan yang diterima melalui pusat hubungan,” jelasnya lagi.

Syarikat penerbangan itu telah mencatatkan pertumbuhan yang sihat iaitu lebih 100 peratus ke atas melalui jualan tiket dan 80 peratus faktor beban dalam kebanyakan penerbangan sejak pengumuman pembukaan semula sempadan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Izham Ismail berkata syarikat itu telah mengambil langkah aktif bagi mengurangkan sebarang kesulitan yang dialami pelanggan dan akan terus menambah baik penyampaian perkhidmatannya.

“Malaysia Airlines akan bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan pusat hubungan pelanggan global kami yang telah menunjukkan komitmen dan tanggungjawab kolektif mereka dalam menangani serta meningkatkan fungsi kritikal yang memberi kesan kepada pengalaman pelanggan keseluruhan Malaysia Airlines,” katanya.

Sebagai syarikat penerbangan nasional, ia terus mengambil langkah aktif untuk memastikan ia mampu memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat, menawarkan tambang yang menarik selain mengembalikan semula dan memperkenalkan laluan menarik baharu, sambil memastikan kualiti perkhidmatannya tidak terjejas.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini