Koperasi Felcra teroka sektor hartanah

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Bhd (KPFB) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan lima entiti bagi membangunkan tiga lot tanah berkeluasan 3.197 hektar milik KPFB membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM389 juta.

Pengerusi KPFB, Datuk Sabari Misran, berkata pembangunan projek kediaman dikenali KPFB PR1MA dan KPFB Residensi itu akan dilaksanakan bersama Siab Development Sdn Bhd, Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Bhd (KOPENAS), Koperasi Kakitangan FELCRA Malaysia Bhd (KKF) dan Koperasi Hartanah Angguna Bhd (KOHAB).

“MoU ini membabitkan cadangan pembangunan tanah untuk perumahan di atas Lot 2,146; 2,148; dan 2,150 di Sungai Tua, Gombak milik KPFB. Ia merangkumi pembinaan KPFB PR1MA dan KPFB Residensi di Selayang dengan GDV RM389 juta,” katanya pada sidang media pemeteraian MoU di sini, semalam.

Sabari berkata, perjanjian bagi pembangunan dua projek kediaman itu membawa kepada penyertaan KPFB dalam bidang hartanah.Katanya, pembabitan dalam projek berkenaan dijangka dapat menambah lagi pendapatan koperasi dalam jangka masa pendek dan panjang merangkumi 13 peratus daripada nilai GDV atau RM50 juta kepada KPFB.

“KPFB turut mendapat sokongan daripada FELCRA Bhd dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di mana kedua-dua entiti ini sentiasa menggalakkan koperasi melabur dalam sektor hartanah yang terbukti menguntungkan serta menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.

Beliau menjelaskan, KPFB juga melantik KOPENAS, KKF dan KOHAB yang memiliki keahlian yang ramai sebagai ejen jualan bagi projek berkenaan.”Pada masa sama, kami juga akan melantik ejen berkemampuan lain untuk membantu memasarkan projek ini.

“Beberapa bank juga dijemput untuk menjadi bank panel antaranya Bank Rakyat, Affin Islamic Bank dan Co-opbank Pertama Bhd (CBP),” katanya.

Pembinaan bagi projek pembangunan KPFB dijangka bermula Oktober ini dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini