STOCK SAHAM.CO

Konflik Russia-Ukraine tak jejas pemulihan negara

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Serangan ke atas Ukraine dijangka tidak akan menjejaskan pemulihan ekonomi Malaysia dan prestasi kewangan syarikat korporat, sekali gus membolehkan pasaran saham tempatan meneruskan trend peningkatan kebelakangan ini.

Penganalisis berkata, konflik di Eropah itu menyebabkan harga komoditi mengukuh yang memberikan impak langsung kepada Malaysia, manakala pendedahan ekonomi negara terhadap Russia dan Ukraine pula adalah rendah.

Ketua Penyelidik TA Securities Holdings Bhd, Kaladher Govindan, berkata pihaknya masih mengekalkan sasaran penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada 1,700 mata menjelang akhir tahun ini.

“Ketika serangan 11 September 2001 dan perang di Iraq, FBM KLCI melantun semula masing-masing pada bulan keempat dan ketiga, manakala insiden di Crimea tidak menampakkan kesan negatif,” katanya.

Pasaran kewangan global, termasuk FBM KLCI, susut selepas Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine.

Russia yang tidak bersetuju dengan hasrat Ukraine untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memberi amaran kepada bekas ahli pengasas Kesatuan Soviet itu untuk melupakan hasratnya dan menerima kedaulatannya ke atas Crimea.

Ukraine pula dilaporkan tidak akan berganjak dengan pendirian pro-Barat dan menerima sokongan Amerika Syarikat (AS) serta Kesatuan Eropah (EU).

Kaladher berkata, emas sebagai komoditi selamat menunjukkan prestasi baik semasa tempoh serangan 11 September, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) yang jatuh pada mulanya meningkat disebabkan limpahan daripada eksport kacang soya lebih kukuh.

Sementara itu, RHB Research dalam nota penyelidikannya berkata, pasaran modal Malaysia kekal stabil walaupun sentimen risiko global semasa yang lemah disokong harga komoditi kukuh serta pendedahan ekonomi yang rendah kepada Russia dan Ukraine.

Firma penyelidikan itu berkata, Malaysia, bersama Indonesia dan Thailand mendapat manfaat daripada ‘syarat positif kejutan perdagangan yang berpunca daripada kenaikan harga makanan dan tenaga’.

“Diperhatikan bahawa imbangan perdagangan keseluruhan Malaysia meningkat sedikit dengan imbangan perdagangan tenaga kelihatan berdaya tahan.

“Selain itu, kebanyakan pendedahan Malaysia terhadap pinjaman bank asing adalah kepada AS, United Kingdom dan Jepun di samping berkemungkinan besar terhad kepada Russia,” katanya.

Di Asia Tenggara, RHB Research berkata, aliran modal bersih ke pasaran modal Malaysia, Indonesia dan Thailand akan kurang terjejas secara relatif berbanding Singapura yang sangat berkait dengan China dalam pasaran semasa.

“Dari aspek pertukaran asing, kami mengekalkan pandangan taktikal dolar AS dan ringgit dengan unjuran akhir suku pertama kekal pada 4.30, manakala bagi tempoh akhir 2022 pula kekal tidak berubah kepada 4.15.

“Dalam jangka masa terdekat, dolar AS kukuh dan penghindaran risiko terhadap pasaran baharu muncul adalah pemacu utama unjuran dolar AS berbanding ringgit,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini