STOCK SAHAM.CO

Kerjasama awam-swasta tingkat ekonomi halal

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Menghubungkan kewangan Islam secara lebih rapat dengan program pembangunan ekonomi halal sedia ada boleh mempertingkatkan lagi peranan kewangan Islam dalam pembangunan ekonomi halal di negara ini, demikian cadangan Bank Dunia.

Pakar Sektor Kewangan Bank Dunia, Shahira Zaireen Johan Arief Jothi, berkata sumbangan kewangan Islam terutama sektor perbankan Islam telah meningkat, justeru langkah selanjutnya perlu diambil untuk memudahkan pembiayaan dan pertumbuhan keseluruhan ekonomi halal.

Beliau berkata, industri kewangan Islam Malaysia pada masa ini menawarkan set produk dan perkhidmatan yang pelbagai untuk memenuhi keperluan pembiayaan bagi perniagaan.

Katanya, mengembangkan ekonomi halal dalam Malaysia memerlukan pembiayaan dan pelaburan dalam pendigitalan, inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan amalan kelestarian untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing global.

“Peranan kewangan Islam dalam pembangunan ekonomi halal di Malaysia boleh dipertingkatkan lagi dengan meningkatkan sokongan untuk menerima pakai pembayaran digital serta menyepadukan khidmat nasihat halal dan pasaran.

“Seterusnya ialah meningkatkan penawaran kewangan Islam semasa melalui penyelesaian kewangan Islam yang inovatif seperti teknologi kewangan, kewangan campuran, kewangan alternatif dan kewangan sosial Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan Kewangan Islam dan Pembangunan Ekonomi Halal Malaysia Bank Dunia yang dilancarkan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah di sini.

Shahira Zaireen berkata, mempertingkatkan penggunaan kewangan Islam untuk membangunkan ekonomi halal akan memerlukan campur tangan sektor awam dan swasta dari segi permintaan dan penawaran.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang dikumpul, perniagaan yang terbabit dalam ekonomi halal, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menghadapi cabaran akses kewangan dan berkaitan perniagaan, yang secara langsung memberi kesan kepada daya maju kewangan mereka.

Justeru, beliau berkata, adalah penting untuk mempertimbangkan unsur penawaran jurang pembiayaan, seperti penyediaan instrumen pembiayaan yang berkaitan dan menangani elemen permintaan dengan menyokong pembangunan perniagaan halal.

Shahira Zaireen juga berkata, Malaysia juga boleh mengukuhkan kerjasama dengan pembuat dasar di negara lain untuk memajukan penggunaan kewangan Islam bagi ekonomi halal.

Beliau berkata, Malaysia juga boleh meningkatkan peranan pelabur institusi relevan dan mengembangkan pembiayaan pasaran modal untuk ekonomi halal dan mempertingkatkan perkongsian data kewangan Islam dan ekonomi halal.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini