Kerajaan, #PETRONAS perlu campur tangan tangani kemelut #Sapura

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu campur tangan dalam menyelesaikan kemelut melanda Sapura Energy Bhd, susulan banyak bayaran yang belum dilangsaikan kepada vendor di bawahnya, demikian menurut Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC).

Presidennya, Sharifah Zaida Nurlisha Syed Ibrahim, berkata terdapat vendor yang masih belum menerima pembayaran daripada Sapura Energy walaupun sudah lebih setahun menyiapkan dan menyampaikan kerja yang diberikan.

Katanya, ini menyebabkan banyak vendor yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terjejas dan berdepan masalah dari segi aliran tunai.

“Sebagai contoh, projek gas di perairan Sarawak di Pegaga oleh Mubadala Petroleum semalam (kelmarin) mengumumkan yang ia sudah berjaya mengeluarkan gas pertamanya di lapangan itu.

“Kontraktor utama projek ini adalah Sapura Energy yang sebelumnya sudah mengagihkan pakej kerja kepada vendor di bawahnya. Walaupun projek ini telah berjaya mengeluarkan gas, namun vendor yang terbabit masih belum menerima sebarang pembayaran daripada Sapura Energy sehingga kini.

“Justeru itu, MOGSC berharap kerajaan dan PETRONAS dapat melakukan sesuatu bagi membantu vendor yang terkesan ini,” katanya ketika ditemui selepas Forum Meja Bulat PKS MOGSC.

Yang turut hadir Setiausaha Kehormat MOGSC, Syed Saggaf Syed Ahmad. Mengulas lanjut Sharifah Zaida berkata, mengikut laporan kewangan Sapura Energy pada suku keempat 2021, syarikat itu dianggarkan berhutang sebanyak RM3.3 bilion dengan vendornya.

Ditanya kesan kepada industri minyak dan Gas (O&G) negara jika Sapura Energy menjadi muflis, beliau berkata ia boleh menyebabkan ekosistem O&G yang telah dibina sejak 1974 runtuh.

Katanya, Malaysia kemudiannya terpaksa membangunkan semula ekosistem baharu bermula dari bawah yang mana sudah tentu akan memakan masa yang lama.

“Kita juga akan kehilangan ramai bakat dan kemahiran dan mungkin kita juga terpaksa bergantung kepada kepakaran luar,” katanya.

Sehubungan itu katanya, MOGSC sudi menawarkan diri untuk menjadi pemudahcara dalam membantu mencari jalan penyelesaian membabitkan Sapura Energy.

“Kita menawarkan diri untuk menjadi pemudahcara bagi membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Sapura Energy baru-baru ini melaporkan kerugian bersihnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 meningkat kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Pendapatan merosot kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion disebabkan oleh peratusan siap yang lebih rendah yang diiktiraf pada tahun semasa, berikutan pengiktirafan kerugian yang boleh dijangka termasuk lonjakan kos projek dalam segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C).

Sementara itu penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Sean Lim, baru-baru ini berkata Sapura Energy dijangka akan terus mengalami kerugian lebih besar bagi tahun kewangan semasa.

Katanya, syarikat itu dilaporkan sedang mengalami tekanan kecairan, apabila paras hutang dan pembayaran tertunggak terlampau tinggi, ditambah dengan kesukarannya mendapatkan kemudahan kredit.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini