Kerajaan pertimbang tangguh dulu projek mega

Facebook
Twitter
WhatsApp

PUTRAJAYA: Kerajaan mempertimbang untuk menangguhkan pelaksanaan projek mega bagi mengimbangi perbelanjaan berkaitan subsidi yang dianggarkan mencecah RM77.3 bilion tahun ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ia antara langkah yang boleh dikaji dan dipertimbangkan bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal kukuh memandangkan wujud keperluan untuk melindungi kebajikan rakyat dengan meneruskan pemberian subsidi.

Katanya, jumlah subsidi terbesar dalam sejarah yang akan disalurkan tahun ini ternyata memberi kesan kepada kewangan negara, namun kebajikan rakyat terus menjadi perhatian bagi mengelakkan rakyat terus terhimpit dengan bebanan kos perbelanjaan yang tinggi.

“Kerajaan belum putuskan lagi sama ada untuk menangguh pelaksanaan projek mega memandangkan keadaan semasa ini agak dinamik dan berubah dari semasa ke semasa. Sekarang harga minyak masih tinggi dan keadaan geopolitik di Russia-Ukraine masih agak mencabar.

“Ramai menjangkakan perkembangan yang berlaku di Eropah ini mungkin berlarutan sehingga beberapa waktu. Justeru, harga komoditi kekal tinggi disebabkan keadaan geopolitik yang tidak menentu ini.

“Setakat ini, kerajaan akan melihat perkembangannya, namun penangguhan pelaksanaan projek mega boleh diambil tetapi ia belum diputuskan. Ia antara langkah yang boleh dikaji dan dipertimbangkan bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Statistics Data Warehouse (StatsDW) di sini.

Yang turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

StatsDW adalah sistem pengurusan gudang data yang berperanan sebagai pusat simpanan data ekonomi dan sosial daripada pelbagai banci dan kaji selidik yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia membolehkan capaian pantas dan mudah kepada data siri masa yang disimpan dan menyediakan akses yang lebih luas kepada pengguna mengikut keperluan dan tahap capaian yang dibenarkan.

Selain berfungsi sebagai storan data, ia juga menyediakan platform interaktif antaranya melalui eDataBank, Data Visualisation dan Mobile Discovery, di mana pengguna boleh meneroka dan melaksanakan analisis dengan lebih berkesan.

Sementara itu, Mustapa menjelaskan bahawa kerajaan turut menyedari bahawa golongan M40 turut terkesan dengan kenaikan kos sara hidup pada masa ini, malah ada bantuan yang diumumkan kerajaan dapat dinikmati oleh golongan berpendapatan pertengahan itu.

“Kerajaan sebenarnya terus memberi keutamaan kepada golongan ini. Apabila kerajaan membuat keputusan untuk tidak mengkaji semula tarif elektrik dan air umpamanya, ia sudah pasti memberi sedikit kelegaan kepada golongan ini.

“Jika dulu ada perancangan untuk melaksanakan subsidi bersasar tetapi jika ia membabitkan B40 sahaja pastinya M40 akan terkesan. Namun, dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Jumaat lalu maka M40 akan mendapat manfaat berkaitan tarif elektrik dan air,” katanya.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini