STOCK SAHAM.CO

Kerajaan mahu perkasa pelaburan aset digital

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus melaksanakan agenda digital dengan membangunkan asas bagi membantu pelabur mendapatkan akses pelaburan lebih baik dan memenuhi keperluan pasaran digital baharu muncul yang pelbagai dalam ekosistem digital insklusif.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah, berkata pelabur di negara ini terus menunjukkan minat yang kukuh terhadap aset digital, justeru penting untuk menjadikan ia lebih mudah diakses oleh pengguna di seluruh negara melalui platform yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Beliau berkata, setakat ini, difahamkan bahawa SC telah mendaftarkan empat Bursa Aset Digital (DAX) termasuk Luno Malaysia dan kesemuanya telah beroperasi dengan sembilan aset digital dibenar untuk diniagakan pada platform berkenaan.

“Secara kolektif, lebih 800,000 akaun telah dibuka di seluruh DAX ini dan nilai dagangan melepasi RM20 bilion pada 2021. Menyokong pertumbuhan ini adalah pelabur di bawah umur 45 tahun, yang menyumbang lebih 80 peratus pelabur individu.

“Kehadiran pelabur runcit menyerlahkan lagi daya tarikan platform ini. Malah, pertumbuhan purata nilai dagangan harian adalah 14 kali lebih besar pada 2021 berbanding 2020,” katanya pada pelancaran kempen celik kewangan Luno dikenali ‘Maju Bersama Luno’ di sini

Hadir sama, Pengurus Besar Asia Pasifik Luno, David Low; Pengurus Negara Luno Malaysia, Aaron Tang; dan Ketua Pegawai Operasi Luno, James Lanigan.

Dalam pada itu, Mohd Shahar mengingatkan pelabur supaya mengesahkan mana-mana perkhidmatan dan penyedia berkaitan digital melalui daftar awam SC bagi mengelakkan mereka terjebak dalam aktiviti penipuan secara dalam talian yang semakin meningkat.

Beliau juga menyarankan pelabur melaporkan kepada Kementerian Kewangan mengenai sebarang aktiviti yang mencurigakan kerana jumlah penipuan dalam talian semakin meningkat.

“Saya difahamkan SC sebelum ini telah mengambil usaha untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam mengambil tindakan yang perlu dan menyekat akses kepada platform yang menawarkan perkhidmatan kripto secara haram di Malaysia.

“Saya menggesa pelabur Malaysia untuk berdagang pada platform aset digital terkawal untuk memastikan kepentingan mereka dilindungi dengan baik,” katanya.

Kempen ‘Maju Bersama Luno’ menyasar untuk memperkasakan rakyat Malaysia bagi meningkatkan lagi pemahaman mengenai aset dan pelaburan digital sebagai sebahagian daripada inisiatif literasi kewangan serta menggunakan pendekatan mendidik bagi menghapuskan salah tanggapan umum mengenai mata wang kripto.

Bagi menjayakan kempen itu, Luno melantik penerjun negara, Pandelela Rinong dan pemain bola sepak, Mohd Zaquan Adha sebagai duta jenama.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini