STOCK SAHAM.CO

Kejatuhan ranking daya saing Malaysia selaras negara Asia lain

Facebook
Twitter
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Kejatuhan kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2022 adalah selari dengan negara-negara Asia yang lain berikutan kesan pandemik COVID-19 kepada ekonomi amat jelas dan tidak menghairankan.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata ia juga menunjukkan betapa pantasnya setiap negara untuk kembali bangkit dan kadar fleksibilitinya untuk merubah ekonomi selepas terkesan dengan pelbagai krisis kesihatan dan ekonomi global.

Katanya, ia juga menunjukkan keserasian sebuah negara dengan hubungannya dengan rakan niaga negara lain.

“Kejatuhan Malaysia sebanyak tujuh anak tangga berbanding negara lain seperti Thailand dan Indonesia juga menunjukkan perlunya Malaysia untuk bangun dan mempunyai pelan strategik jangka panjang.

“Selain itu, berbanding negara China yang hanya turun satu anak tangga, dan Singapura, Hongkong dan Taiwan yang mengekalkan kedudukan mereka masing-masing pada kedudukan ke-3,5 dan 7.

“Dari segi analisisnya ia menunjukkan beberapa kelemahan ekonomi Malaysia untuk bersaing, kerana semua negara di dunia terkesan dengan COVID-19, bermakna semua pemboleh ubahnya adalah sama, tetapi reaksi setiap negara untuk bangun adalah berbeza,” katanya.

Malaysia berada di kedudukan ke-32 dalam Ranking WCR IMD 2022, turun tujuh tangga dari kedudukan ke-25 yang direkodkan pada 2021.

Menurut Pusat Daya Saing Dunia (WCC) IMD, Thailand (di tangga ke-33 kali ini berbanding ke-28 pada 2021) dan Indonesia (di ranking ke-44 berbanding di kedudukan ke-37 sebelum ini) turut mengalami penurunan prestasi berikutan pembukaan semula ekonomi yang perlahan pasca-COVID-19 berbanding dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pertamanya kita kena faham bahawa ranking ini diformulasi berdasarkan data yang bersifat kuantitatif dan boleh dianalisis secara formal.

“Ini di mana 333 kriteria daya saing dipilih sebagai hasil penyelidikan komprehensif menggunakan kajian ekonomi; sumber antarabangsa, nasional dan serantau serta maklum balas daripada komuniti perniagaan, agensi kerajaan dan ahli akademik, selain respons tinjauan (100 eksekutif setiap ekonomi secara purata) daripada eksekutif kanan, dikutip daripada 56 institut rakan kongsi tempatan.

“Ini bermakna, pasca pandemik menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang kembali pesat untuk Malaysia, namun negara-negara lain mampu mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih ketara berbanding Malaysia disebabkan beberapa faktor iaitu seperti keputusan untuk membuka sektor ekonomi lebih awal, pelan rangsangan fiskal yang lebih komprehensif dan juga strategi ekonomi yang lebih mapan.

“Selain itu, faktor persepsi juga memainkan peranan dalam ranking ini. Walaupun semua negara mengalami krisis ekonomi dan kesihatan, Malaysia turut terjejas dengan krisis politik, yang menyaksikan jawatan Perdana Menteri bertukar dua kali sepanjang pandemik ini.

“Ini menjejaskan keyakinan pelabur untuk meletakkan pelaburan mereka di Malaysia, yang menyaksikan Malaysia mengalami kadar penurunan pelaburang langsung asing (FDI) yang paling ketara berbanding negara ASEAN lain semasa pandemik,” katanya.

Namun katanya, apabila kestabilan politik kembali dicapai, FDI kembali meningkat pada suku tahun pertama tahun ini dan ini akan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan pelabur ke atas Malaysia untuk keseluruhan tahun ini.

Sumber

Facebook
Twitter
WhatsApp

Anda mungkin berminat

Terkini